Generali Malaysia diiktiraf sebagai penanggung insurans am antarabangsa terbaik kali kelapan berturut-turut Anugerah Insurans Asia 2023 | DagangNews Skip to main content

Generali Malaysia diiktiraf sebagai penanggung insurans am antarabangsa terbaik kali kelapan berturut-turut Anugerah Insurans Asia 2023

Fabrice Benard merangkul Anugerah CEO Terbaik pada Anugerah Insurans Asia 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Ogos - Generali Malaysia dinobatkan sebagai Penanggung Insurans Am Antarabangsa Terbaik 2023 Malaysia untuk tahun kelapan berturut-turut pada Anugerah Insurans Asia 2023 yang diadakan di Pusat Ekspo & Konvensyen Sands, Singapura baru-baru ini. 

 

Syarikat itu berkata, kemenangan ini mencipta rekod Generali sebagai syarikat insurans am yang pertama dan satu-satunya di Malaysia yang mencapai kemenangan berturut-turut ini.

 

Katanya, kejayaan ini menjadi satu lagi titik pencapaian bagi Generali, selepas berjaya mengambil alih usaha sama AXA Affin dan MPI Generali Insurance Bhd. 

 

"Kejayaan ini membuktikan kedudukan Generali sebagai salah satu penanggung insurans am terbesar dan terkemuka di Malaysia dalam memberikan produk dan perkhidmatan yang inovatif, diterajui pengalaman pelanggan dan teknologi digital," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Generali Insurance Malaysia Bhd dan Ketua Negara Entiti Generali Malaysia, Fabrice Benard menerima Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terbaik kerana menerajui projek pergabungan yang mendorong syarikat menjadi penanggung insurans am kedua terbesar di Malaysia.

 

Dengan pengalaman dalam aspek teknikal dan strategi selama lebih 20 tahun dalam Insurans Am, beliau mempunyai rekod pencapaian sebagai pengurus kanan bagi institusi kewangan bereputasi tinggi serta empat firma besar di Perancis, Itali, Timur Tengah dan Asia.

 

"Tahun 2023 merupakan tahun transformasi bagi Generali Malaysia apabila kami menjalankan strategi ‘Rakan Sepanjang Hayat’ dengan pengambilalihan yang mengubah corak pelaksanaan, dan memberi kami skala, kepakaran dan jaringan lebih luas untuk kami memberikan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan. 

 

"Dua anugerah berprestij ini mengesahkan prestasi kami sebagai penanggung insurans yang dipercayai serta komitmen kami kepada pelanggan," kata Fabrice.

 

Resipi kemenangan Generali terletak pada warga kerjanya, pemangkin dalam melaksanakan dan mendukung matlamatnya serta hasrat Rakan Sepanjang Hayat. 

 

Disokong sejarah yang panjang dan legasi menjangkau lebih 190 tahun, Generali berusaha untuk mengutamakan pelanggan dalam setiap strateginya, menangani keperluan perlindungan mereka dan memberikan perkhidmatan yang bermakna melalui ‘Usul Nilai Peribadi’, ‘Nasihat Fizikal-Digital’ dan ‘Pengalaman Mudah dan Prihatin’. 

 

Usaha ini juga membuktikan komitmen Generali dalam mencari jalan bagi membantu pasaran yang kurang mendapat perkhidmatan melalui pelancaran inisiatif andalannya, The Human Safety Net "Projek Makan Sihat". 

 

Projek Makan Sihat ialah aktiviti pengumpulan dana tempatan sempena aktiviti pengumpulan dana global anjuran The Human Safety Net. 

 

Bersama rakan NGO, Yayasan Generasi Gemilang, inisiatif ini telah berjaya mengumpul RM273,751 bagi mencegah masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga di PPR Lembah Subang. - DagangNews.com