Gentari dan City Energy meterai dua MoU teroka import hidrogen dari Malaysia ke Singapura, bangunkan rangkaian pengecasan EV rentas sempadan | DagangNews Skip to main content

Gentari dan City Energy meterai dua MoU teroka import hidrogen dari Malaysia ke Singapura, bangunkan rangkaian pengecasan EV rentas sempadan

Majlis menandatangani MoU pengecasan EV rentas sempadan di seluruh Singapura dan Malaysia. (Dari kiri) Ketua Pegawai Operasi Gentari Green Mobility, M Haikal Zubir; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Mobiliti Hijau, Shah Yang Razalli; Ketua Pegawai Eksekutif Gentari, Sushil Purohit; Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong dan Penolong Naib Presiden Perniagaan EV City Energy, Heng Jung Seong.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 18 April - Gentari dan City Energy telah memeterai dua memorandum persefahaman (MoU) untuk meneroka import bekalan hidrogen dari Malaysia ke Singapura dan melancarkan akses pengecasan kenderaan elektrik (EV) rentas sempadan.

 

Di bawah perkongsian itu, Gentari dan City Energy akan memanfaatkan kekuatan, kepakaran dan sumber masing-masing untuk mengejar peluang dalam import hidrogen ke Singapura dan meneroka peluang lain berkaitan dengan hidrogen.

 

Mengulas lanjut berkenaan MoU pertama yang meneroka import hidrogen, perjanjian itu membolehkan City Energy meneroka sumber hidrogen alternatif untuk mengukuhkan usaha penyahkarbonan syarikat di samping menyokong Strategi Hidrogen Nasional Singapura mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

 

Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong berkata perkongsian strategik dengan Gentari merupakan perkembangan penting  memandangkan Cty Energy membekalkan gas bandar paip tunggal untuk lebih daripada 880,000 rumah dan perniagaan, meletakkan ia di kedudukan yang baik dalam mewujudkan bekalan hidrogen.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michèle Azalbert berkata, “Walaupun Gentari menyasarkan untuk menjadi rakan kongsi industri untuk hidrogen bersih, kami mahu dapat menyediakan penyelesaian tenaga bersih bersepadu untuk pelanggan di Asia Pasifik, antara lain.”

 

Tambahnya, kerjasama tersebut berada di landasan yang betul dalam menyediakan penyelesaian itu dan mereka percaya perkongsian ini akan menjadi yang pertama daripada banyak perkongsian di Singapura.

 

 

Official Picture of the first MoU Signing on Feasibility Studies on Hydrogen Supply Chain
Majlis menandatangani MoU kajian kebolehlaksanaan rantaian import hidrogen. (Dari kiri) Ketua Pemasaran H2 Gentari, Ariff Adry Adnan; Ketua Pegawai Hidrogen Gentari, Michèle Azalbert; Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong dan Presiden Perancangan Strategik City Energy, Desmond Tay.

 

 

Gentari menyasarkan untuk menghasilkan sehingga 1.2 juta tan hidrogen bersih setahun untuk menangani peningkatan permintaan tenaga bersih pada masa hadapan, di mana kerjasama dengan City Energy akan mempercepatkan penggunaan hidrogen bersih sebagai sumber tenaga dan menandakan komitmen ke arah menyediakan hidrogen bersih dari Malaysia ke Singapura.

 

MoU kedua pula akan menyaksikan kedua-dua syarikat bekerjasama mendalami dan meluaskan pemahaman pasaran EV dan tingkah laku pengguna di Singapura dan Malaysia, serta mengerahkan bersama pengecas EV yang boleh diakses secara umum pada rangkaian EV masing-masing, serta meneroka dan mengenal pasti amalan terbaik untuk aplikasi perayauan mudah alih di kedua-dua negara.

 

MoU antara Gentari dan City Energy melalui Go, iaitu cabang penyelesaian EV miliknya, akan menyokong pembangunan infrastruktur EV di Singapura dan Malaysia dan menggalakkan pembangunan rangkaian EV rentas sempadan yang mantap, memastikan pengalaman pemandu EV lebih lancar.

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Mobiliti Hijau, Shah Yang Razalli berkata, “Kami berharap kerjasama ini juga akan menjadi usaha Gentari ke pasaran Singapura untuk menyokong pembangunan serantau rangkaian pengecasan di Asia Pasifik.” -DagangNews.com