KUALA LUMPUR 13 Jan - Gentari Sdn Bhd (Gentari) melalui anak syarikat milik penuhnya, Gentari Green Mobility Sdn Bhd dan Evolt Technology Company Limited (Evolt) memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi menerokai kerjasama dalam menawarkan penyelesaian tenaga bersih.
Kedua-dua syarikat itu akan bekerjasama untuk mengembangkan infrastruktur dan penyelesaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) di seluruh Asia Tenggara, serta menerokai potensi usaha sama lain dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan penyelesaian mobiliti hijau.
Ketua Pegawai Mobiliti Hijau di Gentari, Shah Yang Razalli berkata, MoU itu menandakan penyertaan sulung mereka dalam pembangunan infrastruktur serantau di Asia Tenggara.
Beliau berkata, Gentari berhasrat untuk memantapkan kedudukannya di Thailand, dan usaha sama dengan Evolt bakal menyaksikan sinergi antara kepimpinan pasaran Evolt di Thailand serta kepakaran serantaunya dengan matlamat Gentari mengembangkan rangkaian mobiliti hijaunya ke pasaran utama di Asia Pasifik.
"Gentari dan Evolt akan bersama-sama menerokai potensi pelaburan untuk membangunkan infrastruktur pengecasan serantau bermula di Thailand, dengan tumpuan terhadap lokasi komersial seperti pusat beli-belah, hotel dan pejabat, serta hab transit dengan jumlah trafik yang tinggi.
"Sementara itu, apabila rangkaian jalan serantau menjadi lebih bersepadu, kami turut melihat potensi dalam menerokai perkhidmatan perayauan dalam infrastruktur pengecasan, justeru menawarkan pengalaman pengecasan lebih lancar kepada pemandu EV walaupun ketika memandu merentasi sempadan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Evolt, Poonpat Loharjun pula berkata, usaha sama strategik dengan Gentari menandakan satu pencapaian penting bagi Evolt dalam memacu pembangunan stesen pengecasan EV.
"Kami mempunyai kepakaran dalam mengenal pasti lokasi tepat bagi pemasangan stesen pengecasan untuk gaya hidup pengguna, tidak kira untuk tujuan riadah atau kerja, yang menawarkan kemudahan akses, perjalanan serba lancar untuk mereka berulang alik dan liputan mencukupi.
"Gentari telah berjaya memasang lebih daripada 250 kemudahan pengecasan di India dan Malaysia serta semakin terkenal dan diyakini oleh pengguna di rantau ini.
Katanya, MoU itu akan menyaksikan kerjasama dalam pelaburan dan pembangunan stesen pengecasan di Thailand serta meningkatkan keupayaan merebut peluang perniagaan pengecasan EV di Asia Pasifik.
Sementara itu, Gentari berhasrat untuk menguasai 10% jumlah pasaran (kira-kira 25,000 kemudahan pengecasan berdasarkan kepada anggaran semasa) di pasaran-pasaran utama di Asia Pasifik menjelang 2030.
Dalam jangka masa sederhana, Gentari berhasrat untuk memasang 9,000 kemudahan pengecasan awam menjelang 2026, terutamanya di Malaysia dan India. - DagangNews.com