George Kent jalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Sarawak bagi pembangunan modal insan, aktiviti berkaitan industri | DagangNews Skip to main content

George Kent jalin kerjasama dengan Universiti Teknologi Sarawak bagi pembangunan modal insan, aktiviti berkaitan industri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Jun - George Kent (Malaysia) Berhad memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Teknologi Sarawak (UTS)  bagi menjalinkan kerjasama dalam pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan industri.

 

Perkongsian strategik itu bertujuan untuk mewujudkan kerjasama akademik dan industri bagi mengukuhkan komitmen George Kent terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) selain mengukuhkan reputasinya sebagai warga korporat yang bertanggungjawab.

 

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak menyasarkan pembangunan serta pengendalian program latihan akademik, profesional dan industri selain bertukar pengetahun teknikal serta khidmat nasihat.

 

Selain itu ia bertujuan menjalankan aktiviti penyelidikan, inovasi dan pengajaran bersama serta mengambil bahagian secara bersama dalam penambahbaikan dan penyampaian kursus.

 

Perjanjian itu berkuat kuasa selama tiga tahun dari tarikh permulaan.

 

Sebagai pemain industri terkemuka dalam perniagaan meter air, George Kent akan menggabungkan kepakarannya dengan UTS untuk mereka bentuk dan menyampaikan program latihan komprehensif yang merangkumi latihan praktikal dan di lapangan dengan pengalaman kerja yang menangani keperluan industri yang berkembang.

 

Pengerusi George Kent, Tan Sri Tan Kay Hock berkata, kerjasama itu berfungsi sebagai penglibatan komuniti dan inisiatif CSR, membolehkan kumpulan itu menyumbang secara aktif kepada peningkatan masyarakat.

 

"Kami juga berbesar hati untuk meneroka potensi kerjasama sinergi dengan UTS sambil kami melihat ke arah mendidik graduan kejuruteraan UTS dengan pengetahuan praktikal dan kejuruteraan ketika mereka memasuki tenaga kerja dalam era teknologi yang pesat membangun ini.

 

"MOU ini adalah kerjasama yang membolehkan George Kent memperkasakan graduan UTS untuk menjadi sebahagian daripada sektor kejuruteraan Malaysia," katanya.

 

Sementara itu, Naib Canselor UTS Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab Hamid berkata, kerjasama itu adalah penting untuk menyediakan pelajar dengan pendedahan praktikal dan pengalaman kepada masalah dunia sebenar, terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan teknikal.

 

Beliau berkata, UTS perlu mengambil pendekatan proaktif untuk mewujudkan dan melibatkan diri dengan rakan kongsi industri di tempat lain.

 

"Kami amat bersyukur dan berbesar hati kerana berpeluang menjalinkan kerjasama dengan sebuah syarikat kejuruteraan terkenal iaitu George Kent.

 

"Selaras dengan visi Kerajaan Sarawak, di bawah Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, perkongsian antara UTS dan George Kent ini boleh membawa kepada inovasi dan penemuan teknologi baharu.

 

"Menerusi kerjasama, penyelidik dan pakar industri boleh membangunkan teknologi dan produk baharu yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat secara keseluruhan," katanya. - DagangNews.com