Giant Malaysia tawar diskaun barangan 3% untuk warga emas pada setiap Rabu | DagangNews Skip to main content

Giant Malaysia tawar diskaun barangan 3% untuk warga emas pada setiap Rabu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Okt - Giant Malaysia hari ini mengumumkan ulang tahun pertama kempen 'Harga Lagi Rendah Lagi Lama' dengan tawaran diskaun 3% untuk warga emas pada setiap Rabu sehingga hujung tahun ini.

 

Selain itu, pasar raya itu turut memperkenalkan beberapa barangan penting yang selalu dibeli oleh pelanggan, sebagai barangan tambahan di bawah kempen ini. 

 

Giant berjanji untuk memastikan harga barangan tersebut kekal rendah sepanjang tahun 2023. Terdapat lebih 100 barangan baru yang ditambah. 

 

Ini mengukuhkan lagi komitmen Giant dalam mambantu pelanggannya menghadapi pemulihan ekonomi yang mencabar dengan mengekalkan harga yang rendah walaupun kadar inflasi meningkat.

 

Dalam pada itu, kempen ini memberi semua warga emas termasuk yang berstatus penduduk tetap tambahan diskaun sebanyak 3% bagi hampir keseluruhan barangan

 

Dengan tambahan diskaun untuk warga emas, pelanggan Giant sudah pasti akan mendapat lebih banyak penjimatan apabila berbelanja di Giant Hypermarket dan di kedai TMC seluruh negara.

 

 

giant
                                     Lee Yik Hun

 

 

Warga emas akan menikmati diskaun tambahan sebanyak 3% tanpa sebarang perbelanjaan minima dan diskaun ini juga terpakai untuk produk dalam promosi. Pengecualian hanyalah untuk pembelian rokok, susu tepung bayi, E-Pay, baucar hadiah/kad hadiah, pembayaran bil dan tambah nilai prabayar serta tambah nilai ‘Touch ‘n Go’.

 

Kesemua warga emas rakyat Malaysia, termasuk yang mempunyai status Penduduk Tetap berumur 60 tahun ke atas, akan dapat menikmati manfaat diskaun ini dengan hanya mengemukakan MyKad sebagai pengesahan semasa pembayaran.

 

 

giant

 

 

Pengarah Pemasaran SEA (Makanan), Lee Yik Hun berkata, antara produk kegemaran warga emas termasuklah produk di bawah jenama Meadows seperti biskut dan kopi yang menawarkan rasa yang hebat pada nilai yang berpatutan. 

 

"Kami di Giant sangat gembira membantu pelanggan kami mendapat lebih penjimatan dengan harga yang lebih rendah setiap hari serta diskaun tambahan 3% setiap hari Rabu untuk warga emas. Mereka boleh terus menikmati penjimatan untuk pembelian barangan harian kerana penjimatan yang kecil itulah yang membuat perbezaan yang besar," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

giant

 

 

Antara pembelian yang mendapat sambutan yang tinggi daripada warga emas adalah barangan seperti biskut, oat segera, produk tenusu/susu dewasa, alat bantu memasak, beras, minyak masak dan juga lampin dewasa. - DagangNews.com