Global Component Asia sasar pendapatan RM12 juta menjelang 2024 | DagangNews Skip to main content

Global Component Asia sasar pendapatan RM12 juta menjelang 2024

RUAG Malaysia kini dijenamakan semula sebagai Global Component Asia Sdn Bhd selepas diambil alih oleh GSA.

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - Syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), Global Component Asia Sdn Bhd (GCA) berhasrat untuk menggandakan hasil pendapatan syarikat menjelang 2024 kepada RM12 juta dengan jumlah kontrak pelanggan bernilai 19.7 juta. 

 

Mengulas mengenai perkhidmatan sedia syarikat, Ketua Pegawai Eksekutif GCA, Syahrul Amir Zaki berkata, pengambilalihan, penyatuan kepakaran serta kemampuan komprehensif menjadikan syarikat sebagai komponen MRO yang diiktiraf secara global, terutama dalam peralatan starter-generator dan sistem pencahayaan pesawat, helikopter dan juga turboprop serantau. 

 

“GCA juga mempunyai kepakaran yang dipertingkatkan dalam spektrum alternator generator dan sistem pencahayaan sedia ada serta keupayaan dalam bidang produk baharu seperti penggerak hidraulik dan kawalan servo. 

 

Syahrul Amir Zaki
Syahrul Amir Zaki

 

“Kami juga ingin membangunkan pasaran teras syarikat ini melalui perkembangan perniagaan sedia ada di negara-negara serantau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

 

Pada pertengahan Jun 2021, pemain industri aeroangkasa berpengalaman tinggi dalam MRO, Global Systémes Asia Sdn Bhd (GSA) telah mengambil alih operasi operasi gergasi MRO oleh syarikat Switzerland, RUAG International di Malaysia.

 

Susulan daripada pengambilalihan itu, RUAG Malaysia telah dijenamakan semula sebagai GCA. 

 

Baca : Global Systémes Asia ambil alih operasi MRO RUAG International di Malaysia

 

Setelah mencatatkan pencapaian pesat dalam tempoh 30 hari pertama, GCA berada dalam posisi baik dengan keperluan untuk meningkatkan tenaga kerja sebanyak 70% dan fasiliti kemudahan penyelenggaraan sebanyak 25%.

 

Bercakap mengenai proses integrasi untuk GCA-RUAG, Pengerusi GSA, Datuk Nonee Ashirin Mohd Radz berkata, susulan pengambilalihan RUAG, pihaknya kini mempunyai strategi yang sangat jelas. 

 

Nonee Ashirin Mohd Radz
Nonee Ashirin Mohd Radz

 

“Tumpuan kami adalah gabungan bersepadu dengan tenaga kerja sedia ada RUAG serta memastikan penawaran perkhidmatan dan kemampuan kami dalam kelangsungan perniagaan berjalan dengan lancar. 

 

“Kami juga tidak akan berkompromi dalam memastikan perkhidmatan pelanggan sedia ada sentiasa berada pada tahap yang tinggi. Pemindahan kemahiran dan pengetahuan dari RUAG serta portfolio pelanggan sedia ada akan menjadi pemacu untuk GCA menawarkan portfolio perkhidmatan yang cukup menyeluruh dalam industri ini. 

 

“Kelancaran proses integrasi ini juga membolehkan kami beroperasi lebih awal daripada yang dijangkakan dan kini berada dalam kedudukan perniagaan yang kukuh untuk terus maju ke hadapan dan mengembangkan bahagian pasaran kami di Australia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei,” katanya.

 

Nonee Ashirin menjelaskan bahawa pengambilalihan itu menyaksikan GCA mewarisi profil perniagaan yang mantap iaitu legasi dalam perniagaan domestik, serantau dan antarabangsa serta disokong oleh kemudahan operasi yang lengkap bertaraf dunia.

 

Ini termasuk perkakas dan tenaga kerja teknikal yang mendapat pengiktirafan prestasi penyampaian berkualiti tinggi serta pengekalan kelulusan peraturan (CAAM, EASA, FAA, DGTA). - DagangNews.com