GMB Malaysia perkenal Pelan GMB Biz 2024, misi 100 hari ke arah ketahanan global | DagangNews Skip to main content

GMB Malaysia perkenal Pelan GMB Biz 2024, misi 100 hari ke arah ketahanan global

(Dari kiri) Timbalan EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET, Datuk Khaidirah Abu Zahar, Datuk Agil Faisal, Datuk Shahul Hameed Dawood, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Dekan Fakulti FTMK UTEM, Dr Mohd Rizwan dan Pengerusi Majlis Perniagaan Malaysia-Pakistan, Datuk Seri Mohamed Nazir Mersalam ketika program GMB Biz 2024 pada 21 Disember 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 22 Dis - GMB Malaysia melancarkan inisiatif GMB Biz 2024 yang melambangkan misi 100 hari tertumpu pada pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

 

Selain itu, GMB turut menumpukan kepada pengesahan tanda etika usahawan Muslim, dan kerjasama strategik dalam teknologi kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber.

 

Presiden GMB Malaysia, Datuk Agil Faisal berkata, pada program bertemakan 'ketahanan global' itu, pihaknya akan  mengorak langkah dalam pendidikan STEM.

 

Katanya, inisiatif itu bertujuan memberi kesan kepada 1,000 pelajar sekolah rendah B40 dalam tempoh 100 hari pertama 2024 dan meluaskan capaiannya kepada 10,000 pelajar menjelang akhir tahun. 

 

"GMB bersedia menjadi pelopor pengesahan etika perniagaan Islam dalam menekankan amalan perniagaan yang adil dan bertanggungjawab.

 

"Pada masa sama, kerjasama strategik dalam AI dan keselamatan siber bersedia untuk diperkukuh melalui pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Akademi Digital Ispace, memupuk kemajuan dalam domain kritikal ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut Agil, sebagai tambahan kepada misi 100 hari, GMB akan menyerlahkan peristiwa penting dan aktiviti untuk 2024, termasuk Forum Perniagaan GMB pada Februari, untuk masa depan yang mampan. 

 

Katanya, ia turut meliputi program pertukaran antara Malaysia dan Pakistan, melibatkan 160 penempatan, yang akan memupuk kerjasama antarabangsa dan pertukaran pengetahuan.

 

Turut hadir pada program tersebut, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp), Datuk Shahul Hameed Dawood. - DagangNews.com