Grab-Microsoft bekerjasama tingkatkan kemahiran digital rakan pemandu, penghantar | DagangNews Skip to main content

Grab-Microsoft bekerjasama tingkatkan kemahiran digital rakan pemandu, penghantar

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Julai - Grab menawarkan program latihan kemahiran digital kepada rakan pemandu dan penghantarnya menerusi kerjasama dengan Microsoft Malaysia.

 

Program latihan itu akan ditawarkan menerusi GrabBenefits, program yang direka khas untuk rakan Grab bagi meningkatkan kemahiran dan menambahbaik kualiti kehidupan mereka.

 

Inisiatif tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 10,000 rakan pemandu dan penghantar di Malaysia menjelang penghujung 2021 dan telah berjaya mencapai sasaran 70% penyertaan tahun ini dalam hanya tiga bulan sejak ia diperkenalkan.

 

Pengarah Operasi Negara, Grab Malaysia, Rashid Shukor berkata, sebagai penyokong ekonomi digital, Grab mahu menawarkan rakan pemandu dan penghantar dengan sumber pembelajaran untuk menambah baik ilmu literasi digital mereka.

 

Rashid Shukor
Rashid Shukor

 

“Kami sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Microsoft bagi membawakan program pembelajaran ini kepada rakan-rakan Grab dan memberi peluang kepada mereka untuk cemerlang dalam ekonomi digital negara yang sedang berkembang dan kami amat teruja dengan kadar penyertaan yang memberangsangkan dari kalangan komuniti kami setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Kursus “Pengenalan kepada Literasi Digital”, program latihan dan kemahiran pertama yang bakal dilancarkan mengandungi enam modul, meliputi kandungan asas pengkomputeran dan kemahiran digital seperti penggunaan internet, alat komunikasi dan produktiviti dalam talian, keselamatan dalam talian, dan banyak lagi.

 

Pada penghujung setiap modul, para peserta akan dianugerahkan dengan sijil daripada Grab dan Microsoft.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, K Raman berkata, selaras dengan kemajuan negara yang menuju ke arah pemulihan ekonomi yang menyeluruh seperti yang dirangkakan dalam inisiatif MyDIGITAL, usaha untukmembantu memajukan ekuiti dan kemahiran digital adalah penting.

 

“Kami amat gembira kerana dapat bekerjasama dengan Grab bagi mewujudkan jalan untuk komuniti rakan pemandu dan penghantar menjadi peserta aktif dalam ekonomi digital negara kita.

 

K Raman
K Raman

 

“Program ini adalah sebahagian daripada komitmen Microsoft Bersama Malaysia untuk memperkasakan seramai 1 juta rakyat Malaysia dengan kemahiran digital, membolehkan setiap orang mencapai lebih banyak lagi dalam masa depan digital Malaysia,” katanya.

 

Di peringkat antarabangsa, Grab dan Microsoft telah lama menjalinkan kerjasama dalam usaha membantu Asia Tenggara merapatkan jurang digital selaras dengan pemesatan usaha negara-negara di rantau ini untuk membina ekonomi berteraskan digital.

 

Pada 2019, kedua-dua syarikat itu telah mengumumkan kerjasama serantau bagi melengkapkan para pekerja dengan kemahiran teknologi yang diperlukan menerusi program latihan, latihan semula kemahiran dan sokongan pembangunan kerjaya.

 

Kerjasama serantau ini turut menyumbang kepada pencapaian matlamat impak sosial Grab iaitu “GrabForGood” yang termasuk usaha membawakan literasi digital dan keterangkuman lebih besar kepada 3 juta penduduk di Asia Tenggara menerusi kerjasama dengan kerajaan, syarikat swasta dan organisasi bukan bermotifkan keuntungan menerusi inisiatif modal insan teknologi menjelang 2025. - DagangNews.com