GUH Holdings jangka peningkatan hasil sebanyak RM4 juta daripada penyelesaian luar mahkamah dengan anak syarikat JAKS Resources | DagangNews Skip to main content

GUH Holdings jangka peningkatan hasil sebanyak RM4 juta daripada penyelesaian luar mahkamah dengan anak syarikat JAKS Resources

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Julai - GUH Holdings Berhad menyifatkan penyelesaian di luar mahkamah dengan unit JAKS Resources Berhad dan firma pembinaan berhubung tuntutan pembayarannya untuk kerja yang dijalankan sebagai sub-kontraktor dijangka menghasilkan peningkatan hasil kira-kira RM4 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

 

"Jumlah penyelesaian yang dijangka sebanyak RM9.07 juta belum terima oleh Teknoserv (Engineering Sdn Bhd) dijangka memberi kesan positif kepada kewangan dan/atau operasi Syarikat," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini.

 

Anak syarikat GUH, Teknoserv Engineering sebelum ini telah memfailkan saman terhadap JAKS Sdn Bhd dan KACC Construction Sdn Bhd (JAKS-KACC JV) berikutan penamatan sub-kontrak.

 

Dalam satu kenyataan di Bursa Malaysia sebelum ini, GUH berkata, Teknoserv dan JAKS-KACC JV kini telah bersetuju untuk menyelesaikan semua tuntutan dan pertikaian secara baik.

 

Di bawah penyelesaian itu, JAKS-KACC JV akan membayar Teknoserv RM9.07 juta melalui tujuh ansuran menjelang 31 Disember 2023.

 

GUH berkata, mereka bersetuju dengan penyelesaian di luar mahkamah kerana ia akan memakan kos dan memakan masa untuk meneruskan pertikaian undang-undang. - DagangNews.com