KUALA LUMPUR 23 Mei — Model GWM TANK 300 yang dinanti-nantikan daripada Great Wall Motor kini dibuka untuk tempahan di Malaysia. Juara Off-road SUV dari China ini memasuki pasaran Malaysia dengan menawarkan anggaran harga RM250,000.
Model GWM TANK 300 menampilkan reka bentuk yang gagah dan penuh kuasa, pastinya akan mencuri tumpuan para penggemar dunia ‘off-road.’ Ia menawarkan kabin dengan ruang dalaman yang lembut dan selesa, bahagian kerusi dilitupi fabrik kulit mewah NAPPA.
Pemandu akan merasakan aura pengembaraan menerusi kerusi pemandu yang boleh dilaraskan melalui 8 cara serta dapat menikmati alunan melodi indah daripada 9 pembesar suara INFINITY.
Selain itu, GWM TANK 300 juga menawarkan pengalaman pemanduan penuh ketenangan menerusi ciri NVH ultra senyap dengan dua lapisan kaca akustik kalis bunyi. Keselesaan sememangnya ciri mewah bagi kebanyakkan ‘off-roader’ yang mengutamakan prestasi keseluruhan kenderaan.
GWM telah berjaya membentuk identitinya sebagai sebuah jenama pengeluar kereta inovatif dengan menawarkan kenderaan yang mempunyai sistem pintar yang lebih efisien.
GWM TANK 300 dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Tahap 2 (L2) yang mempunyai pembantu pemanduan pintar, antaranya ‘Lane Departure Warning’ (LDW), ‘Adaptive Cruise Control’ (ACC), dan ‘Highway Assist’ (HWA). Selain itu, ia turut dilengkapi skrin hiburan penuh warna bersaiz 12.3-inci, dengan ciri-ciri anti-silau dan antipantulan serta menerima sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, membolehkan pemandu berhibur dan santai mengikut citarasa peribadi.
GWM TANK 300 dikuasakan oleh enjin petrol 4-silinder Turbo 2.0L dan Transmisi Automatik 8 Kelajuan ZF (8AT), yang menghasilkan 220 PS dan 380 Nm tork.
Selain daripada pengendalian yang lancar dalam persekitaran bandar, GWM TANK 300 juga berkebolehan dalam menakluki keadaan ‘off-road’ yang lasak seperti laluan berbukit dan permukaan tidak rata.
Ciri-ciri seperti sistem kawalan ‘all-terrain’ dengan 9 mod pemanduan, mod ‘crawl control’, dan ‘tank turn’ membolehkan pemandu mengendalikan kenderaan di kawasan yang sukar. Selain itu, SUV ini menggunakan penggerak empat roda
elektronik separuh masa dengan dwi-kelajuan (4WD), yang membolehkan pertukaran antara mod penggerak dua roda (2WD) dan empat roda (4WD).
GWM TANK 300 mempunyai kekuatan badan kenderaan optimal dengan ketahanan ultra tinggi sehingga 1500 MPa. Ianya juga mampu menaiki sudut cerun sebanyak 23.1° dan kemampuan maksimum mendaki sebanyak 70%.
Selain itu, SUV ini turut mempunyai kemampuan meredah air dengan kedalaman maksimum sehingga 700 mm. GWM TANK 300 juga telah membuktikan kemampuannya di peringkat global dengan mengekalkan kedudukannya sebagai jenama SUV No. 1 di China selama 39 bulan berturut-turut.
GWM sentiasa mencerminkan komitmen jangka panjangnya untuk mewujudkan pengalaman pemanduan yang lebih selamat melalui inovasi dan teknologi terkini. Dengan menggabungkan ciri keselamatan yang terperinci seperti Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan monitor pandangan 360 darjah dengan fungsi ‘transparent chassis’, pemandu dapat memberi perhatian penuh kepada setiap keadaan kenderaan dan sekeliling.
Dalam sebarang kejadian kemalangan, kenderaan akan mengaktifkan fungsi ‘Automatic Collision Unlocking’ dan ‘Automatic Collision Fuel Cutoff’ yang meningkatkan peluang pemandu dan penumpang untuk kekal selamat. Ciri-ciri keselamatan ini telah membolehkan GWM TANK 300 untuk meraih pengiktirafan keselamatan 5 bintang ANCAP.
"Ciri keselamatan merupakan antara elemen utama dalam reka bentuk setiap produk GWM," kata Mike Cui Anqi, Pengarah Urusan GWM Malaysia. "Meskipun untuk sebuah SUV ‘off-road’ yang secara umumnya direka untuk memenuhi keperluan para pencinta pengembaraan, kami sentiasa komited dalam memastikan pengendalian dan pengalaman pemanduan yang sentiasa lancar dalam keadaan yang selesa."
300 pelanggan pertama GWM TANK 300 akan menerima pakej istimewa daripada GWM, termasuk pakej servis percuma selama 5 Tahun/100,000 km yang merangkumi caj alat ganti dan buruh, mana-mana yang terdahulu. Selain itu, jaminan ‘powertrain’ seumur hidup dengan jarak tanpa had ditawarkan khas kepada pemilik pertama model ini.
Tambahan lagi, hadiah misteri turut menanti para pemilik yang hanya akan diumumkan semasa pelancaran rasmi akan datang.
“Jaminan serta hadiah yang ditawarkan disifatkan lebih daripada sekadar penghargaan kepada para pelanggan setia kami,” tambah Mike Cui. “Ia adalah sebahagian daripada manifestasi janji kami di GWM untuk memastikan perkhidmatan selepas jualan yang efisien serta mampu mengatasi sebarang kebimbangan daripada pihak pelanggan.”
GWM TANK 300 adalah model ‘Completely Built Up’ (CBU), yang dijadualkan bakal tiba di Malaysia pada Julai 2024.
Selain itu, GWM HAVAL H6 HEV yang dinanti-nantikan kini turut dibuka untuk tempahan dan dijangka dilancarkan pada suku ketiga tahun 2024. SUV pintar bersaiz sederhana ini direka khas bagi menawarkan keselamatan optimal dengan harga mampu milik, serta didatangkan dengan teknologi hibrid terkini yang menyumbang kepada persekitaran yang
lebih hijau pada masa hadapan. - DagangNews.com