Harga baharu pelitup muka mulai 1 November ini - KPDNHEP | DagangNews Skip to main content

Harga baharu pelitup muka mulai 1 November ini - KPDNHEP

 

 

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mewartakan harga maksimum baharu bagi pelitup muka jenis tiga lapisan (3 ply) (pembedahan/perubatan) pada harga RM0.65 seunit di peringkat borang berbanding RM0.95 seunit sejak 15 Ogos lalu. 

Bagi harga maksimum runcit pula diturunkan daripada RM1.00 seunit kepada RM0.70 seunit.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, harga baharu tersebut akan dikuat kuasa melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bermula pada 1 November nanti.

“Dengan mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baru terutama penggunaan pelitup muka yang berterusan, KPDNHEP telah membuat kajian semula harga pelitup muka dengan melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport," katanya dalam kenyataan hari ini.  

Info harga baharu pelitup muka yang dikeluarkan KPDNHEP

 

Setakat ini, KPDNHEP telah menjalankan  67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi pelitup muka di seluruh negara sejak 29 Januari sehingga 25 Oktober 2020. 

Hasil pemeriksaan tersebut mendapati 73 kes terbabit dengan nilai rampasan sebanyak RM543,737.40 melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400.

Menurut Alexander, kementerian sentiasa memastikan bekalan pelitup muka dan pematuhan kepada harga maksimum yang ditetapkan melalui pemantauan dan pemeriksaan yang berterusan di semua premis perniagaan serta kedai dalam talian.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati pematuhan yang sangat memuaskan di mana hampir semua peniaga menjual pelitup muka sama ada pada paras harga maksimum RM1.00 seunit atau lebih rendah daripada itu.

"Kementerian juga telah membuat pemantauan terhadap status pengeluaran dan pengedaran pelitup muka di semua 12 kilang memproses pelitup muka tempatan.

"Sejumlah 141 juta unit pelitup muka telah dikeluarkan oleh semua pengilang tersebut dan diedarkan untuk jualan ke dalam pasaran tempatan bagi April sehingga September 2020," katanya. - DagangNews.com