KUALA LUMPUR 26 Ogos - Petronas Gas Bhd. merekodkan untung bersih yang lebih rendah pada suku kedua berakhir 30 Jun 2022 sebanyak RM396.5 juta, susut 9.7%% berbanding RM439.07 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya sejajar dengan keuntungan kasar yang lebih rendah.
Pendapatan bagi tempoh itu sebaliknya meningkat kepada RM1.5 bilion daripada RM1.38 bilion terutamanya disumbangkan pendapatan yang lebih tinggi daripada segmen utiliti.
Keuntungan kasar kumpulan meningkat daripada RM600 juta kepada RM623 juta dengan segmen regasifikasi dan pemprosesan gas merekodkan kos operasi yang lebih rendah, dinafikan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen utiliti berikutan margin yang lebih ketat disebabkan kenaikan harga gas bahan api.
Kumpulan mengisytiharkan dividen interim 16 sen sesaham bagi suku kedua, menyamai seperti diumumkan pada suku kedua 2021.
Ia mengekalkan prestasi operasi bertaraf dunianya dalam menyampaikan produk dan perkhidmatan pada separuh pertama 2022.
Bagaimanapun, persekitaran luaran yang mencabar berikutan kenaikan harga gas bahan api dan pergerakan tukaran asing yang tidak menggalakkan telah memberi kesan kepada keuntungan Petronas Gas.
Ini menyaksikan untung bersih bagi tempoh separuh pertama berakhir 30 Jun 2022, susut 15% kepada RM807.08 jut berbanding RM955.47 bagi disebabkan keuntungan kasar yang lebih rendah dan impak daripada kadar tukaran asing yang kurang menggalakkan.
Namun, pendapatan meningkat 9% kepada RM2.96 bilion daripada RM2.72 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya didorong terutamanya hasil yang lebih tinggi daripada segmen utiliti sejajar dengan harga produk dan volum jualan yang lebih tinggi.
Dalam kenyataan hari ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Gas, Abdul Aziz Othman berkata, harga gas bahan api semasa yang tinggi terus meningkatkan kos menjalankan perniagaan di sebalik prestasi operasi kumpulan yang cemerlang.
Beliau menjangkakan harga gas bahan api akan memberi kesan berterusan kepada kewangan kumpulan dan juga impak pertukaran asing yang tidak menguntungkan.
"Untuk menangani cabaran ini, kami telah menambah baik syarat komersial dalam kontrak utiliti kami dan melancarkan inisiatif untuk mengurangkan pendedahan kepada kadar tukaran asing," katanya.
Pada masa sama, beliau berharap perbincangan dengan Suruhanjaya Tenaga berkenaan Tempoh Kawal Selia 2 (RP2) dapat dimuktamadkan tidak lama lagi bagi tarif 2023.
"Bagi mengembangkan perniagaan pula, kami sedang menyiapkan dan mencapai Keputusan Pelaburan Akhir (FID) untuk beberapa projek menjelang akhir tahun ini," tambahnya. - DagangNews.com