Harga jualan sarung tangan Kossan terus meningkat hingga 3Q21 | DagangNews Skip to main content

Harga jualan sarung tangan Kossan terus meningkat hingga 3Q21

Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arieful9222@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Purata harga jualan (ASP) sarung tangan getah syarikat Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan) dijangka terus meningkat hingga suku ketiga 2021 (3Q21).

 

MIDF Research berkata, ia didorong oleh prestasi permintaan sarung tangan getah yang tidak merosot serta harga getah nitril yang lebih tinggi.

 

"ASP Kossan cenderung untuk terus meningkat pada suku seterusnya hingga suku ketiga 2021 kerana permintaan sarung tangan getah yang tinggi," jelas MIDF Research.

 

Mengulas perkara sama, CGS-CIMB Research berkata, peningkatan harga ASP bagi tempoh tersebut juga turut diyakini oleh Kossan sendiri.

 

Keyakinan yang diletakkan oleh Kossan itu dinilai berdasarkan kepada tempahan yang diterima termasuk bagi pesanan untuk tahun 2022.

 

Bagi CGS-CIMB Research, ASP Kossan kini masih dianggar di bawah paras harga rata-rata industri.

 

Hingga kini, syarikat tersebut menjangkakan kenaikan 50% ASP pada suku pertama 2021 berbanding suku sebelumnya.

 

Pada suku keempat 2020, Kossan telah menaikkan ASP sebanyak 55% berbanding jangkaan CGS-CIMB Research iaitu 50%.

 

Anggaran CGS-CIMB Research bagi ASP untuk tahun kewangan 2021/2022 dan 2023 adalah pada harga AS$57/AS$39 dan AS$29 bagi setiap seribu keping sarung tangan.

 

Kossan mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.09 bilion bagi tahun kewangan 2020.

 

Hasil keuntungan tersebut, Kossan memperuntukkan dividen interim sebanyak 8.0 sen, sementara dividen khas adalah sebanyak 3.0 sen sekali gus menjadikan dividen sesaham (DPS) tahunan adalah sebanyak 15.0 sen.

 

Bagi tempoh suku keempat tahun kewangan 2020, syarikat tersebut memperoleh keuntungan bersih sebanyak RM542.3 juta, meningkat 55.5% berbanding suku sebelumnya.

 

Pendapatan pada suku tersebut turut meningkat 26.5% kepada Rm1.30 bilion yang dipacu oleh ASP yang lebih tinggi.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' saham Kossan dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM7.33.

 

CGS-CIMB Research pula mengulangi saranan 'tambah' saham syarikat berkenaan dengan TP sebanyak RM7.64. - DagangNews.com