Harga minyak sawit mentah dijangka kekal RM3,800 bagi setiap tan pada 2023 - Kenanga Research | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka kekal RM3,800 bagi setiap tan pada 2023 - Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Mac - Bekalan minyak sawit diunjurkan pulih pada 2023 dengan harga minyak sawit mentah (MSM) kekal stabil bagi tahun ini dan memasuki 2024 melainkan tuaian buah tandan segar (BTS) dan kacang soya mencatatkan peningkatan ketara.

 

Kenanga Research mengekalkan harga MSM bagi tahun ini pada kadar RM3,800 setiap tan tetapi menyemak semula harganya daripada RM3,500 kepada RM3,800 untuk setiap tan bagi 2024.

 

"Antara faktor positif termasuk minyak sawit menjadi bahan makan pilihan dan bahan api penting untuk pasaran dalam ekonomi membangun seperti China, India dan Indonesia selain aset ketara bersih (NTA) syarikat pengeluar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, pemulihan bekalan minyak makan pada 2023 sedang dijalankan tetapi dijangka kurang stabil dan tinjauan rekod tuaian kacang soya Brazil serta Argentina agak lemah.

 

Katanya, walaupun Brazil merupakan pengeluar utama namun Argentina adalah lebih penting untuk perdagangan antarabangsa, sering menduduki tempat ketiga atau keempat pengeksport minyak makan terbesar di dunia selepas Indonesia, Malaysia dan kadangkala Rusia.

 

"Bekalan minyak sawit dijangka bertambah baik namun permintaan terhadap minyak itu akan menjadi lebih baik pada kadar yang lebih pantas," katanya.

 

Firma itu berkata, dengan pemulihan permintaan yang stabil, firma itu mengekalkan prospek permintaan bekalan 2023 dengan kemungkinan harga MSM yang kukuh.

 

Katanya, kebimbangan utama kami adalah imbangan yang ketat mungkin berlanjutan ke 2024 pada lebihan kacang soya Amerika Selatan yang mungkin lebih kecil daripada jangkaan.

 

"Pengeluaran minyak sawit yang lebih tinggi antara 3% hingga 5% pada 2023 seharusnya meningkatkan bekalan minyak, walaupun dalam skala terhad," katanya. - DagangNews.com