Harga minyak sawit mentah dijangka lonjak keuntungan FY21 United Malacca | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah dijangka lonjak keuntungan FY21 United Malacca

Sawit

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Feb. - Syarikat perladangan kelapa sawit, United Malacca Berhad (UMB) dijangka menguntungkan bagi tempoh tahun kewangan 2021 (FY21).

 

CGS-CIMB Research berkata, perkara itu bakal dipacu oleh harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih tinggi dan peningkatan hasil tandan buah segar (TBS) dari ladang di Indonesia.

 

"Kami menganggarkan pertumbuhan keuntungan pada tahun kewangan 2021 hingga 2023 sebanyak 9% hingga 11%.

 

"Pertumbuhan itu didorong oleh kawasan ladang matang baharu iaitu ladang Kalimantan, Indonesia dan peningkatan hasil dari ladang di Malaysia.

 

"Ia juga dipacu oleh harga MSM yang lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya (FY20) dan pengoperasian kilang baharu Kalimantan," jelas CGS-CIMB Research.

 

UMB ditubuhkan pada 1910 sebagai syarikat perladangan getah kecil oleh Tun Tan Cheng Lock.

 

Syarikat tersebut terus berkembang menjadi ladang kelapa sawit pada 1966 hingga menjadi syarikat perladangan ke-17 yang terbesar di Malaysia meliputi 33.524 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia dan Kalimantan.

 

Hasil tandan buah segar UMB menurun sejak tahun ke tahun daripada 20.7 mt/ha pada tahun kewangan 2013 kepada paras terendah iaitu 13.5 dan 14.3 mt/ha pada tahun kewangan 2019 dan 2020.

 

Kumpulan itu juga mengalami kerugian sebanyak RM10 hingga RM17 juta pada tahun kewangan 2018 hingga 2020 dari ladang Indonesia.

 

Perbelanjaan susut nilai syarikat berkenaan turut menyusut kepada RM58 juta hingga Rm65 juta pada tahun kewangan 2018 hingga 2020 berbanding RM21.5 juta pada tahun kewangan 2017.

 

Kesemua perkara tersebut menjadi faktor kepada UMB yang terpaksa melaporkan kerugian bersih berjumlah RM24 juta hingga RM31 juta pada tahun kewangan 2019 hingga 2020.

 

Memulakan liputan di syarikat tersebut, CGS-CIMB Research membuat penarafan 'pegang' saham UMB dengan sasaran harga sesaham (TP) bernilai RM5.23. - DagangNews.com