Harga minyak sawit mentah diunjur kekal atas RM3,000 | DagangNews Skip to main content

Harga minyak sawit mentah diunjur kekal atas RM3,000

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Mei - Firma penyelidikan, MIDF Research optimis harga minyak sawit mentah (MSM) akan terus kekal melebihi paras RM3,000 sehingga memasuki bulan Jun 2021. 

 

Ini akan dipacu oleh bekalan yang terhad selain harga MSM yang lebih menarik berbanding minyak masak lain seperti minyak kacang soya, jelas MIDF. 

 

“Namun, kami menjangkakan harga MSM akan mereda memasuki separuh kedua tahun 2021 (2H21) kerana paras pengeluaran yang lebih baik didorong musim hujan yang akan melonjakkan hasil buah sawit,” kata MIDF dalam satu nota kajiannya hari ini. 

 

Pada bulan lalu, Malaysia menyaksikan purata harga semerta MSM melonjak 4.8% bagi perbandingan bulan ke bulan (m-o-m) kepada RM4263.11 setiap tan metrik (mt) daripada RM4067.17/ mt. 

 

Harga tertinggi direkodkan pada 23 April iaitu RM4,428.50/mt yang terutamanya didorong oleh harga minyak kacang soya lebih tinggi, paras inventori rendah walaupun pengeluaran ditingkatkan serta permintaan eksport yang lebih baik.

 

Eksport MSM negara melonjak 12.6% m-o-m kepada 1.34 juta/mt pada bulan lalu yang terutamanya disumbangkan oleh negara-negara Islam seperti India, Pakistan dan Turki menjelang perayaan Hari Raya Aidilfitri.

 

“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan permintaan eksport akan berprestasi lebih tinggi ekoran aktiviti ekonomi yang kembali pulih di peringkat global. 

 

“Namun, kami tidak menolak kemungkinan permintaan eksport akan menyusut disebabkan oleh, antaranya tebaran minyak sawit-minyak gas (POGO) yang lebih besar,” tambah MIDF. 

 

Firma itu kekal ‘positif’ terhadap sektor perladangan dengan purata harga MSM bagi sepanjang tahun 2021 diunjurkan RM3,000/mt. 

 

Namun, dalam masa terdekat ini, MIDF meramalkan paras inventori akan terus kekal di bawah paras 2 juta setelah mengambil kira faktor tempoh pengeluaran lebih perlahan.

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research mengunjurkan stok minyak sawit meningkat kepada 1.59 juta/mt menjelang penghujung Mei 2021 dengan output dan eksport masing-masing dijangka melonjak sebanyak 4% dan 6% m-o-m. 

 

“Kami menjangkakan harga MSM akan didagangkan dalam julat RM3,500 hingga RM4,200/mt bagi Mei,” jelas CGS-CIMB.

 

Senada itu, Kenanga Research percaya pengeluaran minyak sawit bagi bulan ini akan meningkat kepada 1.59 juta mt, lonjakan 4.6% m-om. 

 

Firma penyelidikan itu meramalkan pertumbuhan pengeluaran di Sabah dan Sarawak akan terus melonjak bagi bulan ini, sementara prestasi di Semenjung Malaysia pula mungkin mereda. 

 

Kenanga Research kekal ‘neutral’ ke atas sektor perladangan dengan unjuran harga MSM tidak berubah pada kadar RM3,000/mt. - DagangNews.com