KUALA LUMPUR 18 Ogos - Keuntungan bersih teras Kuala Lumpur Kepong Bhd. (KLK) bagi suku keempat berakhir 30 September 2022 (FY22) dijangka merosot 5% ekoran harga minyak sawit mentah yang lebih rendah.
CGS-CIMB Research bagaimanapun berkata, sebahagiannya akan diimbangi oleh output yang lebih tinggi dan pendapatan daripada Synthomer (KLK memiliki 21.3% pegangan), yang dianggarkan kira-kira RM98 juta (berdasarkan keuntungan bersih pada separuh pertama FY22).
Menurutnya, harga purata campuran minyak sawit mentah bagi suku ketiga pada RM4,857 satu tan metrik adalah tinggi sedikit berbanding harga spot purata RM4,735 satu tan metrik di Indonesia/Malaysia (berdasarkan nisbah 60/40), mungkin disebabkan jualan hadapan.
"Pendapatan sebelum cukai dan faedah (EBIT) segmen pembuatan pula meningkat 5% tahun ke tahun berikutan sumbangan yang lebih tinggi daripada oleokimia.
"Bagaimanapun, EBIT susut 39% suku ke suku disebabkan kerugian yang dialami kilang penapisan dan loji penghancur isirung sawit, yang kami syak terjejas ekoran kejatuhan 37% bulan ke bulan harga minyak sawit mentah pada Jun," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Kuala Lumpur Kepong catat untung lebih rendah pada suku ketiga sebanyak RM588.27 juta
Untung bersih KLK susut 28.8% kepada RM588.27 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Jun 2022 berbanding RM783.94 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun kewangan sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat 34.6% kepada RM6.96 bilion pada suku berkenaan berbanding RM5.17 bilion.
Segmen perladangan kumpulan merekodkan keuntungan yang ketara pada tempoh itu sebanyak RM594.3 juta berbanding RM402.9 juta bagi tempoh sama 2021 dipacu harga minyak sawit mentah dan harga jualan
isirung sawit yang lebih tinggi.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 Jun 2022, untung bersih KLK meningkat kepada RM1.7 bilion berbanding RM1.63 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat kepada RM20.17 bilion daripada RM13.98 bilion.
CGS CIMB menyifatkan keuntungan bersih teras yang direkodkan bagi suku ketiga dan kumulatif 9 bulan adalah sejajar dengan unjurannya, memandangkan ia merangkumi 74% daripada anggaran tahun penuhnya untuk tempoh 9 bulan manakala 79% bagi konsensus Bloomberg.
Firma itu berkata, harga minyak sawit mentah dan pendapatan KLK mungkin memuncak pada FY22 manakala kos baja mungkin meningkat pada FY23.
"Untuk mencerminkan perkara ini, kami menurunkan penilaian harga kepada pendapatan (PE) kami untuk perniagaan perladangan dalam SOP daripada 20 kali kepada 16 kali (1 s.d. di bawah min 10 tahun), dan mengurangkan faktor diskaun kepada SOP kami daripada 15% kepada 10% untuk mencerminkan risiko peraturan yang lebih rendah di Indonesia.
"Ini menyaksikan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak RM24.86 berbanding RM28.64 sesaham sebelum ini. Namun, kami mengekalkan saranan 'tambah' terhadap KLK," katanya.
Pada masa sama, ia turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY22 hingga Fy24 sebanyak 9.3 hingga 13% bagi mencerminkan anggaran harga minyak sawit mentah yang lebih tinggi.
"Kami kini menjangkakan harga campuran minyak sawit mentah KLK akan mencapai RM4,151 satu tan metrik bagi 2022 manakala RM3,351 bagi 2023," katanya.
Setakat 11.04 pagi ini, harga saham KLK susut 4 sen atau 0.17% kepada RM22.96 dengan 161,500 saham diniagakan. - DagangNews.com