Harga sasaran saham diturunkan, KLK masih dilihat syarikat perladangan bermodal besar yang murah | DagangNews Skip to main content

Harga sasaran saham diturunkan, KLK masih dilihat syarikat perladangan bermodal besar yang murah

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 21 Feb - RHB Investment Bank mengekalkan saranan 'Beli' saham Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) tetapi dengan harga sasaran (TP) lebih rendah pada RM25.80 sesaham daripada MYR27.25.

 

Keuntungan bersih syarikat itu pada suku pertama berakhir 31 Disember menyusut hampir 50% kepada RM226.9 juta berbanding RM443.04 juta pada tempoh sama sebelumnya.

 

Menurut RHB Investment, KLK masih lagi dilihat sebagai syarikat perladangan bermodal besar yang murah dengan potensi kenaikan 14% dan kadar hasil dividen sekitar 3% untuk tahun kewangan 2024 berakhir September (FY24F).

 

"Perolehan 1QFY24 yang diraih Kuala Lumpur Kepong tersasar daripada jangkaan ekoran keluaran tandan buah segar (FFB) dan margin pembuatan yang lebih rendah. 

 

"Pada masa akan datang, perolehan patut memulih disebabkan oleh kenaikan keluaran FFB dan kos baja lebih murah," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pada masa akan datang, perolehan patut memulih disebabkan oleh kenaikan keluaran FFB dan kos baja lebih murah. 

 

"Walau bagaimanapun, perkara ini dilemahkan sedikit oleh perolehan hiliran yang rendah.

 

"Penilaian syarikat ini masih dilihat menarik iaitu pada P/E 2024F 18.7x berbanding lingkungan P/E 18-20x yang dicatat oleh syarikat pesaing bermodal besar," jelasnya,

 

Jelas RHB Investment, kos unit pengeluaran FY24 dianggarkan KLK mencecah bawah MYR2,000/tan (jatuh sekitar 10-15% YoY), ekoran pengeluaran FFB lebih tinggi dan juga kos baja yang semakin murah. 

 

"Penggunaan baja oleh KLK pada 1HFY24 menurun 20-30% YoY. Kami mengunjurkan pengurangan kos YoY sebanyak 10-15% bagi FY24F," katanya.

 

Firma itu juga merendahkan perolehan FY24-26F sebanyak 2% hingga 6% selepas penyelarasan dibuat bagi mengambil kira keluaran FFB lebih rendah dan margin pembuatan lebih kecil.- DagangNews.com