Harga sawit dijangka meningkat RM3,000-RM3,500 Disember ini | DagangNews Skip to main content

Harga sawit dijangka meningkat RM3,000-RM3,500 Disember ini

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Dis. - Paras inventori minyak sawit mentah (MSM) dijangka susut lagi pada akhir Disember selepas jatuh ke paras terendah 3 tahun kepada 1.56 juta tan metrik setakat akhir November. 

 

Penganalisis CGS-CIMB, Ivy Ng Lee Fang berkata, ia diunjur susut 6% bulan ke bulan kepada 1.48 juta tan metrik dengan pengeluaran menurun 10% dan eksport pula tidak memberangsangkan. 

 

Katanya, menjelang pelaksanaan semula cukai ekport MSM pada Januari 2021 (dianggarkan sekitar 7.5%), peniaga dijangka meningkatkan penghantaran minyak sawit.

 

"Ini akan menyaksikan harga MSM akan diniagakan sekitar RM3,000 hingga RM3,500 per tan metrik pada Disember ini. 

 

"Kami juga meningkatkan harga purata keapda RM2,680 bagi tahun ini berbanding RM2,620 sebelum ini didorong pengukuhan harga MSM sejak akhir-akhir ini," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagaimanapun, harga MSM akan dipengaruhi beberapa faktor, terutamanya impak La Nina terhadap bekalan, perkembangan cuaca di Amerika Selatan, pembelian China bagi meningkatkan stok dan dasar terhadap mandat biodiesel. 

 

Semalam, data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menunjukkan inventori bagi pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia itu jatuh 0.58% daripada bulan sebelumnya kepada 1.56 juta tan metrik, terendah sejak Jun 2017. 

 

Pengeluaran minyak sawit menyusut 13.51% kepada 1.49 juta tan metrik berbanding Oktober, mencecah paras terendah sejak Mac. 

 

Sementara itu, Penganalisis MIDF Research, Martin Foo Chuan Loong berkata, kekangan bekalan minyak sawit akan berterusan sehingga akhir tahun ini dengan mengambil kira pengeluaran yang lemah selepas mencapai waktu puncak. 

 

Antara faktornya, musim hujan dan kekurangan tenaga buruh hingga proses penuaian tandan buah segar (TBS) menjadi lambat. 

 

"Dari segi eksport pula, kami menjangkakan ia kekal berisiko disebabkan peningkatan jangkitan COVID-19 di pasaran utama seperti India dan juga pasaran domestik seperti yang berlaku pada November. 

 

"Kami mengekalkan harga sasaran MSM pada RM2,600 per tan metrik untuk tahun ini manakala RM2,700 bagi 2021," katanya. - DagangNews.com