Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Jun - Sayuran jenis tomato dan timun Jepun di beberapa pasar awam sekitar Putrajaya mengalami kenaikan harga antara 15% hingga 30%.
Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, sayuran jenis lain di pasar awam yang dipantau bagaimanapun masih berada pada paras harga yang stabil.
"Pemantauan seterusnya yang dilakukan di salah sebuah pasaraya di Putrajaya pula mendapati, harga semua jenis sayuran masih lagi stabil seperti harga sebelum ini tanpa sebarang kenaikan yang ketara.
"Maklumat harga yang direkodkan oleh Bahagian Harga Barang Negara (BHBN) KPDNHEP pula mendapati, kenaikan harga bagi beberapa jenis sayuran dikenalpasti di peringkat nasional iaitu bagi sayuran jenis tomato (8.33%), sawi (2.91%), timun (2.08%), Kubis Bulat Tempatan (2.73%), Kailan (2.37%), kangkung (2.29%), brokoli (2.27%) dan capsicum (2.07%)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemantauan dan pemeriksaan ke atas beberapa pasar awam dan pasaraya di sekitar Putrajaya itu dibuat selepas menerima laporan kenaikan harga sayur berikutan pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands.
Tambah beliau lagi, situasi bekalan sayuran dilihat masih stabil di semua pasar-pasar awam dan pasaraya sekitar Putrajaya.
Bagaimanapun, Penguat Kuasa KPDNHEP tidak menolak kemungkinan akan berlaku gangguan bekalan sayur-sayuran tertentu ekoran pelaksanaan PKPD di Cameron Highlands.
"Penguat Kuasa KPDNHEP di seluruh negara akan terus menjalankan pemantauan ke atas harga sayur dan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 akan dilaksanakan jika terdapat mana-mana pihak yang sengaja mengambil keuntungan secara tidak munasabah atau mencatut," ujar beliau. - DagangNews.com