Hari terakhir bulan Mac di KLCI bermula suram | DagangNews Skip to main content

Hari terakhir bulan Mac di KLCI bermula suram

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 31 Mac - Dagangan pada hari terakhir untuk bulan Mac 2021 di pasaran saham tempatan bermula suram kerana pelabur mengambil pendekatan yang lebih berhati-hati. 

 

Ketika dibuka pada 9 pagi ini, indeks penanda aras pasaran di Bursa Malaysia, FBM KLCI menyusut 0.23 mata daripada paras yang ditutup semalam, 1,609.19 kepada 1,608.96. 

 

Setelah 5 minit didagangkan, indeks itu terus menyusut kepada 1,603.89, sekali gus menjadikan mata penurunan keseluruhan sehingga 5.30 mata atau 0.33%. 

 

Dagangan pada pagi ini menyaksikan sebanyak 188 kaunter rugi mengatasi 170 kaunter untung. 

 

Antara saham yang merosot adalah Petronas Gas Berhad, Top Glove Corporation Berhad, Euro Holdings Berhad, Hartalega Holdings Berhad, VisDynamics Holdings Berhad, Airasia Group Berhad, Sime Darby Plantation Berhad, MISC Berhad, Kossan Rubber Industries Berhad dan Supermax Corporation Berhad.

 

Rakuten Trade Research berkata, walaupun FBM KLCI semalam ditutup lebih rendah, namun firma itu menyaksikan pelabur asing menjadi pembeli ekuiti tempatan untuk dua hari berturut-turut. 

 

“Dengan sentimen yang masih lagi dalam mod berhati-hati, aktiviti perdagangan di bursa tempatan menjadi lemah. 

 

“Bagi indeks penanda aras, ia dilihat masih lagi tersekat dalam mod penyatuan (dagangan terhad), oleh itu dijangka diniagakan dalam julat 1,605 hingga 1,615 pada hari ini,” jelas Rakuten Trade dalam nota kajiannya. 

 

Di peringkat antarabangsa, sentimen di Wall Street berterusan tidak menentu memandangkan kadar hasil Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) 10 tahun masih tinggi. 

 

Malah, kadar hasil itu hampir menyentuh paras 1.8% sebelum menyusut semula kepada sekitar 1.7%, tambah Rakuten Trade. 

 

“Disebabkan itu, ketiga-tiga indeks utama ditutup lebih rendah,” ujar firma penyelidikan itu lanjut. - DagangNews.com