Hartalega beli tanah di Kedah bernilai RM228.7 juta | DagangNews Skip to main content

Hartalega beli tanah di Kedah bernilai RM228.7 juta

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mac - Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) menerusi anak syarikat milik penuhnya Hartalega NSM Sdn. Bhd. telah membeli sebidang tanah berukuran sekitar 250 ekar di Bukit Kayu Hitam, Kedah. 

 

Pembelian tanah yang bernilai RM228.7 juta itu bertujuan bagi pembinaan 16 kilang pembuatan Hartalega dengan pelaburan RM7 bilion untuk tempoh 20 tahun akan datang. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Hartalega telah menandatangani perjanjian jual dan beli tanah itu dengan Northern Gateway Free Zone Sdn. Bhd. (NGFZ), iaitu anak syarikat milik penuh Northern Gateway Sdn. Bhd. (Northern Gateway). 

 

Northern Gateway merupakan pemaju induk Zon Ekonomi Sempadan Khas (SBEZ) Kota Perdana.

 

“Dengan sokongan daripada kerajaan, pengambilalihan ini bakal menyaksikan kumpulan syarikat meluaskan perniagaannya di kawasan utara dalam tempoh jangka masa panjang. 

 

“Dalam masa sama, kedua-dua pihak juga menandatangani perjanjian opsyen untuk Hartalega membeli 130 ekar tanah lagi di lokasi sama. 

 

“Nothern Gateway merupakan entiti milik penuh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc.),” jelas Hartalega. 

 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Pengarah NGFZ, Syaiful Hafiz Moamat Mastam dan Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong. 

 

hartalega
KUAN MUN LEONG (kiri, depan) dan Syaiful Hafiz Moamat Mastam selepas menandatangani perjanjian jual dan beli tanah di Bukit Kayu Hitam, Kedah. Gambar :  Facebook Kementerian Kewangan.

 

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd. Khairul Adib Abd. Rahman dan Pengerusi Hartalega, Kuan Kam Hon.

 

Jelas Hartalega, kawasan yang diperuntukkan untuk pengembangan kumpulan syarikat di Kota Perdana SBEZ sangat kondusif untuk perniagaan kerana status zon perindustrian dan komersialnya yang bebas. 

 

Ia juga menempatkan sebuah pelabuhan darat, yang seterusnya memudahkan logistik dan operasi, tambahnya.

 

Sementara itu, Tengku Zafrul ketika mengumumkan pembelian tanah oleh Hartalega itu memberitahu, keputusan pelaburan strategik oleh pengeluar sarung tangan nitril terbesar di dunia berkenaan merupakan sokongan terhadap status penambahbaikan SBEZ Kota Perdana sebagai destinasi pelaburan pilihan yang baharu.

 

“Ini sentiasa menjadi strategi kerajaan untuk mendorong pemain industri yang berfokus pada pertumbuhan dan inovasi dapat meningkatkan produktiviti dan menyumbang kepada ekonomi negara. 

 

Tengku Zafrul
Gambar Facebook Kementerian Kewangan

 

“Oleh itu, kami sangat gembira dapat menyokong pengembangan Hartalega di SBEZ Kota Perdana,” katanya. 

 

Tambah Tengku Zafrul, SBEZ Kota Perdana kini bersedia untuk terus meningkatkan kedudukan dan reputasinya dalam menarik industri-industri besar dan berorientasikan eksport lain, memanfaatkan kelebihan daya saingnya seperti jarak dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand dan juga Pelabuhan Pulau Pinang.

 

“Ini juga akan mendorong pembangunan ekonomi di Kedah, dengan kesan positif yang besar bagi kawasan utara. 

 

“Paling penting, projek ini diharapkan dapat mewujudkan lebih daripada 12,000 pekerjaan dan membantu meningkatkan bakat dan vendor tempatan, sambil menyokong pembangunan infrastruktur,” tambah Tengku Zafrul.

 

Dalam pada itu, Mun Leong berkata, strategi kumpulan syarikat kekal tertumpu kepada Malaysia berdasarkan ekosistem dan rantaian bekalan yang menyeluruh untuk sektor sarung tangan.

 

Jelasnya, pengembangan itu akan terus memperkukuh kedudukan negara sebagai pembuat sarung tangan terbesar di dunia.

 

“Langkah ini juga akan terus merancakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan utara dan membolehkan kami menyumbang kepada aspirasi pembangunan bangsa dengan kesan limpahan positif ke atas kawasan ini.

 

“Apabila selesai (pembinaan), Hartalega menyasarkan untuk menyumbang lebih 5% kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kedah,” katanya.

 

Ketika ini, Hartalega merupakan pembuat sarung tangan nitril terbesar dunia, menghasilkan 43 bilion unit setiap tahun. 

 

Rancangan pengembang kumpulan syarikat termasuk NGC 1.5 di mana akan meningkatkan kapasitinya kepada 63 bilion unit setiap tahun apabila pembinaan selesai.

 

Pelan jangka panjang pengembangan kumpulan syarikat itu di Kedah bakal menyaksikan pengeluaran 80 bilion setiap tahun sekali gus menjadikan jumlah kapasiti mencecah 143 bilion unit.

 

Setakat 4.44 petang, nilai saham Hartalega menokok 8 sen kepada RM9.80. - DagangNews.com