KUALA LUMPUR 9 Ogos - Hartalega Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih RM52.47 juta pada suku pertama tahun kewangan 2024 (1QFY24) berbanding keuntungan bersih RM88 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Pendapatan pengilang sarung tangan tersebut dalam suku semasa yang berakhir pada 30 Jun 2023 turut berkurangan kepada RM440 juta, merosot 49% daripada RM845.7 juta.
Kumpulan itu mencatat kerugian sesahamnya bernilai 1.54 sen berbanding pendapatan sesaham 2.58 sen sebelumnya dan tidak mengisytiharkan sebarang dividen bagi suku tersebut.
Ini merupakan kerugian bersih Hartalega bagi suku ketiga berturut-turut sejak suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23).
Bagi perbandingan suku ke suku, kerugian bersih kumpulan menguncup daripada kerugian bersih RM302.8 juta, manakala pendapatan bernilai RM515.7 juta pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).
Dalam satu kenyataan media, Hartalega berkata ia terus terjejas oleh persekitaran pasaran yang mencabar pada suku pertama, terutamanya disebabkan purata harga jualan lebih rendah dan jumlah jualan yang berkurangan berbanding tahun kewangan sebelumnya.
Jelasnya, hal demikian adalah berikutan keadaan lebihan bekalan yang berterusan dalam sektor sarung tangan dan pelarasan inventori rantaian bekalan, serta kos operasi yang lebih tinggi.
Ketua Pegawai Eksekutif Hartalega, Kuan Mun Leong berkata cabaran dihadapi pada masa ini dijangka berterusan memandangkan pasaran tidak seimbang, persaingan agresif oleh pemain serantau dan kos operasi yang tinggi memberi kesan kepada margin.
Menurut beliau, harga jualan purata bagi sarung tangan getah kekal sangat kompetitif walaupun terdapat kejayaan yang minimum dengan peningkatan harga produk.
“Kami akan terus menekankan langkah pengoptimuman kos, meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepatkan inisiatif automasi merentasi semua operasi.
"Selain itu, kami berdedikasi untuk memajukan agenda alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) kami bagi memacu pertumbuhan mampan dan mengukuhkan daya tahan kumpulan," katanya.
Tambahnya, pelupusan kemudahan Bestari Jaya yang disasarkan siap pada suku pertama 2024 dijangka meningkatkan kecekapan operasi dan kos kumpulan, justeru meningkatkan daya saing keseluruhan pada masa hadapan.
Pada waktu penulisan, saham Hartalega susut 9 sen atau 4.2% kepada RM2.05 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM7 bilion. - DagangNews.com