Hasil P.I.E. Industrial bagi 2QFY24 susut 16% kepada RM240.2 juta kesan permintaan rendah dalam segmen EMS | DagangNews Skip to main content

Hasil P.I.E. Industrial bagi 2QFY24 susut 16% kepada RM240.2 juta kesan permintaan rendah dalam segmen EMS

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Hasil P.I.E. Industrial Bhd bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2024 (2QFY24) menyusut 16% kepada RM240.2 juta berbanding RM286.5 juta pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan permintaan lebih rendah bagi segmen perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dan produk abah-abah wayar.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, bagaimanapun ia diimbangi pendapatan lebih tinggi daripada produk wayar dan kabel.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu mencatatkan peningkatan untung bersih kepada RM17.3 juta berbanding RM11.6 juta pada 2QFY23.

 

"Peningkatan ini disebabkan oleh margin campuran produk yang lebih tinggi pada suku semasa berbanding suku yang sama tahun lalu.

 

"Bagaimanapun, keuntungan dibayangi hasil yang lebih rendah, keuntungan yang lebih rendah daripada urus niaga pertukaran mata wang asing dan peruntukan untuk kerugian penjejasan nilai belum terima," katanya.

 

Bagi separuh pertama berakhir 30 Jun 2024 (1HFY24), hasil kumpulan itu juga menyusut kepada RM479.4 juta berbanding RM618.9 juta pada tahun sebelumnya namun untung bersih mereka meningkat kepada RM27 juta berbanding RM25.7 juta pada 2QFY23.

 

Mengulas mengenai prospek, P.I.E. Industrial berkata, pendapatan yang diperoleh daripada aktiviti pembuatan wayar dan kabel mula mencatatkan peningkatan secara beransur-ansur.

 

Pada masa sama, harga tembaga mencatatkan peningkatan yang baik sejak suku keempat 2023 sehingga kini.

 

"Pelanggan kami secara mula memuatkan pesanan mereka secara berperingkat bagi mengelakkan risiko kenaikan harga. 

 

"Namun begitu, bahagian ini mampu mengekalkan margin keuntungannya kerana harga jualan yang disebut harga kepada pelanggan adalah bergantung kepada harga tembaga yang ditentukan mengikut pasaran," katanya. - DagangNews.com