Hektar REIT berdepan isu sewaan pusat beli-belah Subang Parade, taraf saranan diturunkan kepada ‘pegang’ – AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Hektar REIT berdepan isu sewaan pusat beli-belah Subang Parade, taraf saranan diturunkan kepada ‘pegang’ – AmInvestment

Subang Parade, yang dibuka pada 1988 dan diambil alih Hektar REIT pada 2006, terletak di Subang Jaya, Selangor. [Foto FB Subang Parade]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Feb - AmInvestment Bank Research menurunkan taraf saranan Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT) kepada ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) lebih rendah pada 67 sen seunit daripada 71 sen sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata FV, yang membayangkan hasil pengagihan 7%, dikurangkan selepas ia menurunkan unjuran pendapatan boleh agih tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24/FY25) masing-masing sebanyak 2% dan 8%.

 

Ini setelah firma tersebut mengambil kira pemulihan kadar turun naik harga sewa dan kadar penghunian yang lebih perlahan daripada jangkaan di pusat beli-belah Subang Parade serta peningkatan kos kewangan.

 

“Bagi FY24, kami menjangkakan kadar turun naik harga sewa tidak berubah kerana Hektar REIT perlu menawarkan kadar sewa lebih kompetitif di pusat membeli-belahnya yang kurang berprestasi, terutamanya Subang Parade, untuk mengekalkan penyewa sedia ada dan menarik peniaga runcit baharu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

AmInvestment berkata demikian susulan Hektar REIT mencatat pendapatan boleh agih berjumlah RM29 juta pada FY23, 9% di bawah jangkaan firma berkenaan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Hasil Hektar REIT bagi FY23 susut kepada RM111.5 juta berbanding RM117.5 juta pada tahun sebelumnya

 

Ini terutamanya diheret oleh pendapatan yang lebih rendah daripada jangkaan berikutan kadar turun naik harga sewa negatif untuk kebanyakan pusat beli-belahnya pada FY22.

 

Selain Subang Parade, portfolio hartanah Hektar REIT termasuk Mahkota Parade (Melaka), Wetex Parade (Johor), Central Square (Kedah), Kulim Central (Kedah) dan Segamat Central (Johor).

 

Pada asas tahun ke tahun bagi FY23, pendapatan hartanah bersih (NPI) Hektar meningkat 2% walaupun penurunan 5% dalam pendapatan kasar. 

 

Menurut firma penyelidikan itu berkata kesan penurunan pendapatan telah dikurangkan oleh kos operasi hartanah yang, didorong pelaksanaan pengoptimuman kos.

 

Bagaimanapun, pendapatan boleh agihan terlaras kumpulan menurun 21%, diburukkan lagi oleh peningkatan kos kewangan.

 

Dari segi purata kadar penghunian pada tahun tersebut, firma itu berkata ia menokok lima mata peratusan kepada 87%, dengan peningkatan dalam semua pusat membeli-belah runcitnya.

 

“Hasil pengagihan Hektar REIT bagi FY25 adalah 7.4%, yang kelihatan tidak menarik jika dibandingkan dengan purata dua tahun sebelum pandemik (FY18-19) sebanyak 8%. Oleh itu, kami melihat potensi peningkatan terhad dalam saham ini,” kata AmInvestment.

 

Setakat pukul 11:35 pagi ini, Hektar REIT didagang rendah 0.5 sen atau 0.8% pada 62.5 sen dengan permodalan pasaran sebanyak RM363.4 juta. - DagangNews.com