HLIB kekal saranan 'beli' terhadap UEM Edgenta dengan TP lebih rendah pada RM1.86 | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' terhadap UEM Edgenta dengan TP lebih rendah pada RM1.86

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 28 Feb - Pembukaan semula ekonomi dan inisiatif digital dilihat akan terus menyokong pemulihan UEM Edgenta Bhd. pada masa hadapan, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Bagaimanapun, penganalisisnya, Sophie Chua Siu Li mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY23 sebanyak 22 hingga 24%.

 

Katanya, semakan semula lebih rendah itu dibuat selepas mengambil kira margin yang lebih rendah daripada tekanan inflasi dan ketidakupayaan kumpulan melepaskan kos yang lebih tinggi daripada perniagaan konsesi.

 

"Oleh itu, kami menyemak semula harga sasaran (TP) lebih rendah kepada RM1.86 berbanding RM2.23 sebelum ini.

 

"Sebaliknya, kami mengekalkan saranan 'beli' terhadap UEM Edgenta kerana masih menjangkakan pemulihan kumpulan secara berterusan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021, keuntungan bersih UEM Edgenta meningkat kepada RM20.43 juta dengan hasil RM699.22 juta berbanding keuntungan bersih RM9.15 juta dan hasil RM571.89 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2021.

 


Baca : UEM Edgenta tinjau peluang dalam perniagaan perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan

 

Penyumbang prestasi utama syarikat iaitu bahagian sokongan penjagaan kesihatan (HSS) mencatatkan peningkatan 19.4 peratus dalam hasil daripada RM359.5 juta pada suku sebelumnya kepada RM429.2 juta pada suku keempat tahun kewangan 2021, manakala keuntungan sebelum cukai syarikat itu meningkat kepada RM28.8 juta daripada RM28.1 juta.

 

Dalam taklimat media mengenai keputusan tahun kewangan 2021 syarikat itu yang diadakan secara maya baru-baru ini, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syahrunizam Samsudin berkata, HSS mewakili 68% kontrak baharu yang diperoleh UEM Edgenta pada 2021 daripada segi sumbangan pertumbuhan dan segmen itu menyumbang 76% dalam pertumbuhan hasilnya tahun lalu.

 

Syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu melaporkan bahawa keuntungan bersihnya naik kepada RM42.4 juta untuk tahun kewangan 2021 berbanding RM12.89 juta pada tahun sebelumnya manakala hasil meningkat 13% kepada RM2.29 bilion daripada RM2.03 bilion kebanyakannya didorong oleh pengembangan dalam HSS.

 

Menurut Siu Li, pada masa hadapan, UEM Edgenda akan terus memberi tumpuan kepada penyusunan semula perniagaan dan akan bergantung pada segmen HSS untuk membawanya kembali ke tahap sebelum pandemik (dari segi pendapatan). 

 

Malah, katanya, UEM Edgenta juga akan terus mengembangkan segmen HSS di peringkat tempatan dan serantau.

 

"Sementara itu, bagi segmen perkhidmatan infrastruktur dan penyelesaian kemudahan hartanah, kumpulan menyasarkan untuk menguruskan nilai projek sedia ada dengan kos paling efisien," jelasnya.

 

Beliau berkata, segmen perundingan aset (AC) kumpulan bagaimanapun sukar untuk kembali pulih pada tahun ini meskipun tanpa pelaksanaan sekatan pergerakan kerana perolehan projek dijangka perlahan memandangkan pilihan raya kemungkinan diadakan tahun ini. 

 

Pada tahun lalu, segmen ini terjejas akibat sekatan pergerakan dan kumpulan tidak dapat menggerakkan kakitangan ke Malaysia timur untuk menjalankan kerja perundingan dalam tempoh tersebut.

 

"Namun begitu, pihak pengurusan juga meninjau peluang dalam sektor telekomunikasi, tenaga dan air," katanya.

 

Siu Li juga mendapati hampir 4,000 kakitangan UEM Edgenta akan terkesan dengan pelaksanaan gaji minimum akhir tahun ini dan jika ini disemak semula, ia akan meningkatkan kira-kira RM4 juta kos pekerja. 

 

"Bagaimanapun, kami menekankan bahawa beberapa kontrak dalam tangan akan mengambil kira inflasi, manakala sesetengahnya akan memasukkan klausa untuk membenarkan semakan kadar setiap 3 hingga 4 tahun atau apabila kejadian luar biasa berlaku.

 

"Oleh itu, usaha berterusan kumpulan untuk mengoptimumkan dan menyelaraskan perniagaan bagi meningkatkan kecekapan operasi sepatutnya dapat membantu menangani impak ini," jelas beliau. - DagangNews.com