HLIB kekal saranan 'beli' untuk Wah Seong, yakin kumpulan itu catat untung pada FY22 | DagangNews Skip to main content

HLIB kekal saranan 'beli' untuk Wah Seong, yakin kumpulan itu catat untung pada FY22

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 Mei - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' untuk Wah Seong Corporation Berhad dengan harga sasaran (TP) RM1.17 selepas berkeyakinan kumpulan itu kembali mencatatkan keuntungan pada FY22.

 

Katanya, keyakinan itu adalah berdasarkan kerja-kerja penebat haba talian paip East African Crude Oil Pipeline (EACOP) bernilai sekitar RM1.1 bilion, yang merupakan kerja tunggal terbesar yang diraih sejak Nord Stream 2 pada 2016.

 

"Menerusi kerja-kerja itu, tempahan Wah Seong kini berada pada paras RM2.7 bilion atau dua kali ganda berbanding sebelum ini.

 

"Keadaan itu mencerminkan prospek masa hadapan mereka dan pendapatan yang lebih jelas untuk tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Sebelum ini, Wah Seong mengumumkan beberapa beberapa perkembangan transaksi tanah melibatkan pelupusan tanah pajakan di Georgetown, Pulau Pinang berukuran 35,200 meter persegi merangkumi bangunan pejabat dua tingkat untuk pertimbangan harga RM26.5 juta.

 

Selain itu, urusan itu juga melibatkan pengambilalihan MMA Offshores Holdings Pte. Ltd. and MMA Offshore Investments Pte. Ltd. iaitu syarikat pelaburan yang memiliki tiga bidang tanah di Batam, Indonesia berkeluasan 181,000 meter persegi yang bernilai RM65.4 juta.

 

Buat masa sekarang, premis di Batam Yard dihuni oleh PT Wasco Engineering Indonesia yang merupakan anak syarikat tidak langsung Wah Seong dengan kadar sewaan RM2 juta setahun.

 

"Penggabungan kedua-dua transaksi, pembangunan itu akan meningkatkan hutang bersih kumpulan itu dan ia tidak akan membantu meningkatkan dana ekuiti mereka dalam tempoh terdekat.

 

"Secara keseluruha kami neutral terhadap pembangunan itu dengan kunci kira-kira kumpulan itu akan menurun dan kami menjangkakan pendapatan kumpulan bertambah sebanyak RM2 juta.

 

"Secara konservatifnya, kami tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan kumpulan bagi FY22 dan FY23F," katanya. - DagangNews.com