HLIB ramal Inari terima manfaat daripada pengenalan telefon pintar AI | DagangNews Skip to main content

HLIB ramal Inari terima manfaat daripada pengenalan telefon pintar AI

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Mei - Inari Amertron Bhd dijangka berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada pengenalan telefon pintar dengan kecerdasan buatan (AI).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, kumpulan itu sedang menilai peluang perkongsian strategik dengan pemain industri yang berpindah ke Malaysia hasil daripada ketengan geopolitik dan perang perdagangan Amerika Syarikat-China.

 

"Kami percaya bahawa telefon pintar dengan AI akan menawarkan kitaran menaik yang positif," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih suu ketiga berakhir 31 Mac 2024 (3QFY24) ialah RM73.72 juta berbanding RM57.36 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya manakala hasil bagi suku tersebut melonjak 26% kepada RM347.63 juta daripada RM275.6 juta.

 

Bagi tempoh sembilan bulan (9MFY24), untung bersih kumpulan itu susut 4.6% kepada RM245.51 juta berbanding RM257.22 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

 

Pendapatan teras Inari 9MFY24 sebanyak RM239 juta adalah meleset daripada jangkaan disebabkan oleh pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan margin pelunasan yang lebih lemah daripada jangkaan.

 

Kenaikan tarif elektrik serta kerugian akibat gangguan bekalan elektrik yang tidak stabil daripada grid menjadi punca kepada penyusutan itu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu percaya bahawa industry semikonduktor Malaysia berada pada trajektori yang baik untuk beberapa tahun akan datang memandangkan landskap teknologi semasa yang dibentuk oleh AI dan perang perdagangan.

 

“Inari berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada pengenalan jangkaan telefon pintar berkeupayaan AI dan pertumbuhan peranti opto jalur lebar tinggi dalam rangkaian dan pusat data," katanya.

 

HLIB mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM3.50 sesaham.  - DagangNews.com