HLIB Research negatif terhadap Hup Seng tidak isytihar dividen | DagangNews Skip to main content

HLIB Research negatif terhadap Hup Seng tidak isytihar dividen


KUALA LUMPUR 11 Nov – Hong Leong Investment Bank Research menyifatkan saham pengeluar biskut, Hup Seng Industries yang mencatat keuntungan selepas cukai hanya RM3.3 juta (susut 6.9%)  bagi suku ketiga tahun ini, `jauh dari yang disasarkan’.

 

Malah, firma itu turut memberi penilaian negatif berikutan ketiadaan dividen oleh Hup Seng bagi suku tahunan ini, walaupun saham syarikat itu diketahui sebagai kaunter dividen yang stabil.

 

Selain itu, dengan kos bahan mentah dijangka terus meningkat, firma itu berpandangan perolehan syarikat akan terus tipis bagi baki suku tahunan ini.

 

Berita paling menyulitkan bagi Hup Seng ialah HLIB Research memutuskan untuk menamatkan liputan terhadap saham syarikat disebabkan `kurangnya akses oleh pihak pengurusan syarikat’.

 

‘’Oleh itu, unjuran kami, saranan Jual dan Harga Tertinggi RM0.76 sesaham tidak lagi boleh digunakan sebagai rujukan di masa mendatang,’’ kata firma itu dalam notanya hari ini.

 

Menurut HLIB Research, berdasarkan kajian suku tahunan, jualan Hup Seng telah menurun 2.6% kepada RM64.8 juta, satu lagi rekod perolehan terendah dalam tempoh lima tahun ini.

 

Jualan tahunan ke tarikh hari ini pula mencatat penurunan 7% dengan pasaran eksport paling teruk iaitu 21.7%.

 

Jualan yang lemah tersebut menyeret turun keuntungan bersih sebanyak 72.7%,’’ kata HLIB Research.

 

‘’Daripada aspek dividen, Hup Seng telah membayar dividen 6 sen bagi tahun kewangan 2018, 2019 dan 2020 yang masing-masingnya mewakili nisbah pembayaran sebanyak 111%, 123% dan 119% bagi perolehan setahun penuh,’’ kata firma itu lagi.

 

Berita terbaharu mengaitkan bahan penyebab kanser yang didakwa ditemukan di dalam bungkusan biskut yang diuji oleh badan pengawas di Hong Kong, boleh mempengaruhi pasaran.

 

``Kami melihat tuduhan ini begitu negatif kerana para pengguna akan menjadi lebih berhati-hati berikutan berita tersebut, dan boleh menjejaskan jualan dalam masa terdekat.

 

‘’Namun, kita juga maklum Kementerian Kesihatan telah memberi jaminan bahawa purata tahap kandungan acrylamide di dalam biskut di negara ini adalah rendah berbanding penanda aras yang ditetapkan oleh peraturan Suruhanjaya Eropah,’’ kata HLIB Research. – DagangNews.com