HLIB unjur Sealink kembali catat keuntungan pada FY24 disokong kadar sewaan kapal lebih baik | DagangNews Skip to main content

HLIB unjur Sealink kembali catat keuntungan pada FY24 disokong kadar sewaan kapal lebih baik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengunujurkan Sealink International Bhd akan kembali mencatatkan keuntungan pada FY24 disokong penggunaan dan kadar sewa harian (DCR) kapal yang lebih baik.

 

Katanya, gabungan penggunaan kapal kumpulan itu dijangka meningkat lebih 68% tahun ini berbanding 60% pada tahun lalu didorong aktiviti pembangunan dan penyelenggaraan luar pesisir yang teguh di tengah-tengah kekurangan kapal sokongan luar pesisir (OSV).

 

Firma penyelidikan itu berkata, armada DCR Sealink juga meningkat secara drastik, dengan kapal bekalan pelbagai guna (MPV) sepanjang 48 meter, kini disewakan pada kadar RM15,000 hingga RM20,000 sehari berbanding beberapa tahun lalu.

 

"Kami menjangkakan Sealink kembali mencatat keuntungan dengan pendapatan teras sebanyak RM22.5 juta pada 2024, disokong kadar penggunaan campuran yang lebih kukuh pada 68% dan DCR gabungan RM30,000 tanpa perbelanjaan tambahan seperti kos dok kering dan penalti.

 

“Seterusnya, kami mengunjurkan pertumbuhan pendapatan selanjutnya sebanyak 31% pada 2025, ditambah penggunaan armada yang lebih tinggi pada 75% dan DCR sebanyak RM33,000,” katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB Research memberikan nilai saksama 52 sen untuk saham Sealink, berdasarkan 10 kali pendapatan sesaham pertengahan 2025, diskaun kepada 14 kali ganda pendapatan harga yang lazimnya dikaitkan dengan perkhidmatan minyak dan gas.

 

"Kami melihat Sealink sebagai ketinggalan dalam ruang OSV kerana penilaiannya yang tidak menuntut di tengah-tengah kitaran peningkatan pendapatan yang akan berlaku," katanya.

 

Sealink memiliki 19 OSV aktif yang kebanyakannya disewa untuk industri minyak dan gas, dan mereka juga menyediakan perkhidmatan pembinaan serta pembaikan kapal.

 

Kumpulan itu menyasarkan untuk mendapatkan beberapa kapal baharu untuk disewa di bawah program kapal operasi pengeluaran (POV). 

 

Firma penyelidikan itu berkata, Sealink sedang mencari peluang bagi mendapatkan beberapa kapal untuk disewa di bawah program POV.

 

"Hampir semua kapal kini disewa di bawah kadar spot, sehingga anugerah POV secara rasmi dimuktamadkan, mungkin pada separuh kedua tahun ini," katanya.

 

"Semakan kami menunjukkan bahawa DCR di bawah tender POV akan sama dengan kadar pasaran semasa, yang kami anggap positif berikutan peningkatan keselamatan pendapatan pada tahun-tahun akan datang,” katanya. - DagangNews.com