Hong Leong Bank libatkan usahawan sosial Primus Wellness ke platform HLB Jumpstart | DagangNews Skip to main content

Hong Leong Bank libatkan usahawan sosial Primus Wellness ke platform HLB Jumpstart

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 15 Nov - Hong Leong Bank (HLB) telah menjalin kerjasama dengan Primus Wellness, usahawan sosial terbaharu yang dimasukkan ke dalam platform tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertumpukan keusahawanan, HLB Jumpstart.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, Hong Leong berkata Primus Wellness menjadi perusahaan sosial keenam di platform berkenaan, di mana ia diasaskan oleh usahawan Selvamalar Selvaraju.

 

Menurut bank itu, Selvamalar komited untuk menggalakkan kesejahteraan holistik dan menyediakan peluang perniagaan kepada individu dan keluarga yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik COVID-19, membolehkan mereka menjana pendapatan yang mampan.

 

Primus Wellness menumpukan perhatian dalam mencipta produk kesejahteraan holistik menggunakan daun moringa dari ladang  14 hektar mereka sendiri di Kalumpang, Selangor dan produk dijual oleh penerima manfaat mereka secara langsung kepada pelanggan.

 

Selain menghasilkan produk berasaskan moringa, Primus Wellness juga telah memulakan inisiatif kedua ‘Pasar Pintu’, yang melibatkan kerjasama secara langsung dengan petani seluruh negara untuk mendapatkan hasil segar dan menjualnya pada harga berpatutan di flat PPR.

 

Melalui HLB Jumpstart, bank itu akan menyediakan bimbingan, rangkaian, dan platform kepada Primus Wellness untuk memperkasakan lebih daripada 2,000 penerima manfaat dengan peluang pendapatan baharu.

 

Di samping itu, ia akan memudahkan pendigitalan Primus Wellness dan penerima manfaatnya dengan menyediakan produk dan rumusan perbankan digital seperti kod QR DuitNow untuk membolehkan pembayaran tanpa tunai yang lancar, katanya.

 

Seterusnya, bank akan membantu menubuhkan platform eDagang untuk usahawan sosial ini bagi menyesuaikan generasi celik digital dan menubuhkan aliran pembelian tambahan untuk pelanggan, selain menyokong dengan pemasaran dan publisiti untuk membantu membina kesedaran jenama.

 

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Hong Leong Bank, Kevin Lam berkata bank itu komited untuk menyokong usahawan, perniagaan, dan perusahaan sosial dalam perjalanan perniagaan mereka, dan berharap bahawa ini menjadi perkongsiag saling menguntungkan yang akan berkembang ke tahap lebih tinggi.

 

"Primus Wellness telah menyediakan peluang perniagaan untuk lebih daripada 2000 penerima manfaat, yang melambangkan semangat keusahawanan kami dan mencerminkan aspirasi kami untuk mengembangkan dan menyokong perniagaan kecil,” katanya. - DagangNews.com