Hospital Ar-Ridzuan, NMSB meterai kerjasama kendali pusat dialisis untuk asnaf  | DagangNews Skip to main content

Hospital Ar-Ridzuan, NMSB meterai kerjasama kendali pusat dialisis untuk asnaf 

MAIPk merancang menyediakan pusat dialisis di semua 12 buah daerah di negeri Perak dalam tempoh tiga tahun.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 16 Feb - Penyediaan rawatan dialisis bagi golongan asnaf di negeri ini dipertingkatkan dengan termeterainya perjanjian usaha sama antara Hospital Ar-Ridzuan dan Nephrocare Management Sdn Bhd (NMSB) di hari ini.

 

Kerjasama ini bagi menyedia dan mengendalikan pusat dialisis di semua 12 buah daerah di negeri Perak dalam tempoh tiga tahun.

 

Ia bakal melibatkan kos antara RM2 juta hingga RM2.5 juta bagi setiap pusat dialisis untuk menampung 132 pesakit.

 

Ketika ini Hospital Ar-Ridzuan hanya mempunyai dua pusat dialisis iaitu di Ipoh dan Manjung.

 

NMSB dipilih sebagai rakan strategik berdasarkan pengalaman dalam pengoperasian pusat dialisis dengan beberapa agensi kerajaan.

 

 

dialisis
YDH Toh Tan Dewa Sakti Zulkifly (tiga dari kiri) dan Suib (kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan disaksikan Mohd. Annuar (empat dari kiri) dan Mohamed Haniffa (dua dari kanan) di Ipoh pada 16 Februari 2023.

 

 

Pengurus Besar Hospital Ar-Ridzuan, Dahari Masud berkata, perjanjian ini merupakan antara inisiatif berimpak tinggi kepada pesakit-pesakit dialisis untuk mendapatkan tempat rawatan yang kondusif dan selesa. 

 

Menurut beliau, penyediaan pusat ini memastikan kemampanan dana dan bukan mewujudkan persaingan dalam kalangan pengusaha dialisis di negeri Perak.

 

"Kolaborasi strategik ini menjangkakan pembukaan sekurang-kurangnya satu pusat dialisis di setiap daerah untuk menampung keperluan rawatan.

 

"Ia sejajar dengan pertambahan pesakit yang memerlukan rawatan terutamanya mereka yang dibiayai oleh Majlis Agama Islam negeri Perak (MAIPk)," ujarnya semasa berucap pada majlis tersebut.

 

 

dialisis
Inisiatif Hospital Ar-Ridzuan untuk menyediakan pusat dialisis yang kondusif dan selesa.

 

 

Inisiatif ini secara tidak langsung dapat membantu meringankan beban penerima kemudahan dialisis yang majoritinya merupakan golongan B40.

 

Setiap tahun MAIPk memperuntukkan sebanyak RM24 juta kepada golongan asnaf bagi membiayai pelbagai rawatan kesihatan termasuk dialisis.

 

Terdahulu, memorandum perjanjian dimeterai antara Pengerusi Hospital Ar-Ridzuan, YDH Toh Tan Dewa Sakti Zulkifly Dato' Zakaria manakala NMSB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Dato’ Suib Ahmad.

 

Pemeteraian memorandum ini disaksikan Yang Dipertua MAIPk, Tan Sri Mohd. Annuar Zaini dan Pengerusi Kumpulan NMSB, Senator Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa  Abdullah. - DagangNews.com