i-Sinar, i-Lestari, i-Citra elak sentimen pengguna jadi lebih teruk - PublicInvest | DagangNews Skip to main content

i-Sinar, i-Lestari, i-Citra elak sentimen pengguna jadi lebih teruk - PublicInvest

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Keputusan untuk membenarkan pencarum mengeluarkan dana daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra telah meningkatkan sentimen pengguna daripada merosot lebih teruk. 

 

Secara umumnya, sentimen tersebut merupakan petunjuk ekonomi yang mengukur sejauh mana keyakinan pengguna terhadap kewangan mereka dan keadaan ekonomi di dalam negara.

 

Di Malaysia, Indeks Sentimen Pengguna (CSI) telah menyusut pada suku kedua 2021 (2Q21), menjunam 34.6 mata kepada 64.3, kemerosotan mendadak setakat ini untuk bulan ke-11 berturut-turut daripada paras neutral sejak 4Q18.

 

Firma penyelidikan, PublicInvestment Research menjangkakan indeks itu mungkin merosot lebih teruk sekiranya tiada bantuan fiskal kerajaan yang besar seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Prihatin Tambahan, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Kerangka Inisiatif Tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Kita Prihatin), Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (Permai), Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa), Pemerkasa Plus dan Perlindugan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).

 

“Sentimen mungkin terus kurang menggalakkan dalam masa terdekat ini susulan dinamik COVID-19 yang masih lagi berlaku terutamanya kemunculan varian lebih kuat seperti Delta. 

 

“Kadar vaksinasi COVID-19 yang rendah ketika ini iaitu kurang 20% daripada jumlah populasi dan jurang besar untuk mencapai imuniti kelompok (80% populasi dewasa) mungkin mendorong pengguna untuk kekal berhati-hati dan menangguhkan perbelanjaan terutamanya untuk item tidak perlu dan bernilai tinggi.

 

“Ini mungkin berubah pada suku keempat seiring ekonomi yang dijangka mencapai imuniti kelompok ketika itu, landasan pemulihan sama yang disaksikan di ekonomi-ekonomi maju seperti Amerika Syarikat (AS) dan Eropah kerana askes vaksin yang awal dan seterusnya membuka penuh ekonomi,” jelas PublicInvest dalam satu nota kajian.

 

Selain CSI, Indeks Keadaan Perniagaan (BCI) juga menyusut sebanyak 24.3 mata kepada 87.50 pada 2Q21, paras terendah dalam tempoh setahun lalu. 

 

Ini disebabkan oleh situasi COVID-19 yang mempengaruhi pemulihan sektor utama seperti hospitaliti, penerbangan dan pelancongan memandangkan sempadan negara masih lagi ditutup dan perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan.

 

Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dilaksanakan ketika ini juga menjejaskan sektor perkhidmatan di mana terpaksa ditutup kecuali perkhidmatan perlu, menurut firma itu lanjut.

 

Sentimen yang lemah ketika ini mungkin sementara dan dijangka melonjak semula pada suku keempat apabila imuniti kelompok dicapai, tambah PublicInvest. 

 

“Keadaan yang kembali normal akan menjadi pelopor kepada kebangkitan semula sentimen penggunaan dan pelaburan, landasan pemulihan sama yang dilihat di rantau utama seperti AS dan Eropah didorong oleh vaksin,” jelas firma itu. - DagangNews.com