IGB jenamakan semula hotel The Boulevard Mid Valley City sebagai St. Giles Boulevard | DagangNews Skip to main content

IGB jenamakan semula hotel The Boulevard Mid Valley City sebagai St. Giles Boulevard

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept - IGB Group Bhd telah membuka semula The Boulevard Mid Valley City dengan jenama baharu, St. Giles Boulevard pada Khamis lalu, setelah ditutup pada 2021 akibat pandemik COVID-19.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, IGB berkata Cititel Hotel Management Sdn Bhd (CHM) akan terus menguruskan hotel tersebut di bawah jenama St. Giles.

 

“Keputusan kami untuk menjenamakan semula sebagai St. Giles adalah bukti komitmen kami terhadap inovasi dan kemewahan yang mampan.

 

“Sambil kami menerima identiti baharu ini, kami berbangga menawarkan persekitaran di mana tetamu boleh menikmati keselesaan sambil mengambil kira jejak ekologi mereka,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif CHM, James Loo mewakili pengurusan hotel.

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IGB, Tan Boon Lee (empat dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif CHM, James Loo (lima dari kanan) dan Pengurus Besar St. Giles Boulevard, Simon Yong (lima dari kiri) bersama pengurus besar hotel IGB yang lain semasa pembukaan semula St. Giles Boulevard.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IGB, Tan Boon Lee (empat dari kanan), Ketua Pegawai Eksekutif CHM, James Loo (lima dari kanan) dan Pengurus Besar St. Giles Boulevard, Simon Yong  (lima dari kiri) bersama pengurus besar hotel IGB yang lain semasa pembukaan semula St. Giles Boulevard pada 31 Ogos 2023.

 

 

Menurut kenyataan tersebut, hotel itu menjalankan program baik pulih bilik tamu dan kemudahan awam bernilai RM18 juta ketika ditutup, dengan wajah baharu yang segar serta membaik pulih semua sistem paip, elektrik dan penyaman udara bagi memenuhi piawaian kecekapan global.

 

Di samping itu, pembukaan semula hotel terdiri daripada 390 bilik itu didatangkan dengan pelbagai inisiatif kelestarian seperti botol air kaca boleh diisi semula, serta bekas syampu dan gel mandian yang, justeru tiada lagi sabun buku dan penggunaan satu kali.

 

Bagi mengalakkan kecekapan tenaga, hotel tersebut menggunakan pencahayaan LED dalam bilik sekali gus mengurangkan aliran haba dan jejak karbon hartanah.

 

Hotel itu juga dihias dengan lebih banyak tumbuhan hidup bagi meningkatkan daya tarikan estetik dan menyumbang kepada udara dalaman yang lebih bersih.

 

Selain itu, kad kunci plastik digantikan kad kunci buluh dan hotel tersebut mempromosi inisiatif tanpa kertas dengan memperkenalkan e-pendaftaran kepada e-invois. - DagangNews.com