IJM Construction peroleh kontrak RM561 juta di Johor, Pulau Pinang | DagangNews Skip to main content

IJM Construction peroleh kontrak RM561 juta di Johor, Pulau Pinang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Ogos - IJM Corp Bhd menerusi IJM Construction Sdn Bhd memperoleh dua kontrak dengan nilai gabungan RM561 juta di Johor dan Pulau Pinang.

 

Kumpulan itu berkata, projek-projek itu terdiri daripada pusat data di Johor dan kemudahan pembuatan perindustrian di Pulau Pinang, mempamerkan kekuatan IJM Construction dalam pembangunan infrastruktur berteknologi tinggi.

 

Katanya, usaha sama 50:50 antara Woh Hup Malaysia Sdn Bhd dan IJM Construction telah dianugerahkan kontrak RM508 juta daripada pemaju pusat data antarabangsa.

 

Projek itu melibatkan pembinaan dua pusat data di Gelang Patah, Johor.

 

"Bangunan 1 dijadualkan siap pada suku ketiga 2025, dan Bangunan 2 pada suku pertama 2026," katanya.

 

Woh Hup (Pte) Ltd, perintis dalam industri pembinaan Singapura, ialah antara firma pembinaan dan kejuruteraan awam milik persendirian terbesar dan tertua di republik itu, dengan pengalaman hampir satu abad.

 

Woh Hup memperoleh projek pusat data pertamanya pada 2016 dan sejak itu telah menyiapkan enam pusat data di India, Indonesia dan Singapura untuk pembangun pusat data antarabangsa.

 

Kerjasama antara Woh Hup dan IJM Construction memanfaatkan gabungan pengalaman, kepakaran, sumber dan kemudahan pra-tuang mereka.

 

Bagi Pulau Pinang, IJM Construction memperoleh kontrak RM307 juta bagi pembinaan kemudahan pembuatan dan pergudangan elektrik dan elektronik (E&E) baharu di Batu Kawan.

 

Kemudahan tercanggih seluas 560,000 kaki persegi, terletak di kawasan seluas 8.1 hektar di Taman Teknologi Bandar Cassia, adalah untuk sebuah syarikat yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dalam sektor itu.

 

"Kemudahan itu bertujuan menyokong pertumbuhan dalam pasaran peralatan modal semikonduktor dan peranti penjagaan kesihatan dengan membangunkan ekosistem rantaian bekalan E&E. 

 

"Pembinaan kemudahan itu akan dimulakan pada Ogos 2024, dengan dijangka siap menjelang Oktober 2025," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan IJM Corp, Lee Chun Fai berkata, kontrak itu menyerlahkan kepakaran IJM Construction dalam menguruskan projek kompleks mengikut jadual yang dipercepatkan.

 

Kedua-dua kontrak itu menjadikan pekerjaan terjamin IJM Construction tahun ini kepada RM1.9 bilion.

 

Termasuk buku pesanan tertunggak RM6 bilion setakat 31 Mac 2024, jumlah buku pesanan kumpulan berjumlah RM7.9 bilion. - DagangNews.com