Sektor perindustrian diunjur terus kekalkan trajektori pertumbuhan pada tahun ini didorong permintaan domestik kukuh | DagangNews Skip to main content

Sektor perindustrian diunjur terus kekalkan trajektori pertumbuhan pada tahun ini didorong permintaan domestik kukuh

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Sept - Sektor perindustrian Malaysia diunjur mengekalkan trajektori pertumbuhan kukuh pada tahun ini didorong permintaan domestik yang kukuh dan pemulihan pasaran global secara berperingkat.

 

Public Investment Bank Bank (PublicInvest) berkata, Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara meningkat 5.3% pada Julai berbanding 5% pada Jun, dipacu pertumbuhan kukuh dalam sektor pembuatan.

 

Katanya, pengeluaran pembuatan pada Julai disokong oleh keuntungan dalam industri berorientasikan domestik dan eksport, menunjukkan sumbangan yang seimbang kepada prestasi sektor itu.

 

Firma penyelidikan itu optimis, unjuran itu memberi gambaran yang menggalakkan untuk Malaysia apabila sektor elektrik dan elektronik (E&E), yang menyumbang lebih 40% daripada jumlah eksport terus menjadi pemacu utama pertumbuhan.

 

“Jangkaan peningkatan dalam eksport elektronik, disokong oleh kesan asas yang menggalakkan, dijangka mengurangkan impak terhadap prospek perdagangan Malaysia.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 5.3% pada Julai 2024, dipacu pertumbuhan kukuh Sektor Pembuatan - DOSM

 

“Kami mengunjurkan eksport barangan dan perkhidmatan Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus tahun ke tahun pada 2024, disokong oleh permintaan global yang pulih dan sektor elektronik yang kukuh,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, perdagangan barangan global terus pulih menjelang suku ketiga 2024, membina momentum dari awal tahun selepas tahun 2023 mencatatkan lemah, menurut barometer perdagangan barangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terkini.

 

“Bagaimanapun, di sebalik trend positif ini, WTO mengingatkan bahawa prospek perdagangan global mengalami ketidaktentuan berikutan ketegangan geopolitik, konflik serantau, pendirian dasar monetari yang berubah di negara-negara maju dan pesanan eksport yang rendah.

 

“Unjuran perdagangan WTO yang akan datang, yang akan dikeluarkan pada pertengahan Oktober, dijangka memberikan penilaian yang lebih terperinci mengenai cabaran ini dan potensi impaknya terhadap dinamik perdagangan untuk beberapa bulan akan datang,” katanya. - DagangNews.com