IJM Corp lupus pegangan dalam IJMP bernilai RM1.53 bilion | DagangNews Skip to main content

IJM Corp lupus pegangan dalam IJMP bernilai RM1.53 bilion

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Julai - IJM Corp Bhd. melupuskan 494.86 juta saham biasa dalam IJM Plantations Bhd (IJMP) kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), menurut maklumannya di Bursa Malaysia hari ini. 

 

Jumlah saham itu mewakili 56.2% pegangan ekuiti bernilai RM3.10 sesaham bernilai RM1.53 bilion.

 

Menurut IJM Corp., pihaknya merancang untuk menggunakan sebanyak RM800 juta daripada langkah pelupusan saham itu untuk aktiviti pengurusan modal manakala RM450 juta lagi bagi meneroka peluang pelaburan baharu dan perbelanjaan modal.

 

"Selain itu, sebanyak RM19.6 juta akan digunakan untuk modal kerja umum dan RM4 juta untuk anggaran perbelanjaan," katanya.

 

Jelasnya lagi, pertimbangan pelupusan itu dibuat berdasarkan kerelaan pembeli-penjual mengikut harga yang ditawarkan KLK.

 

Langkah ini juga, katanya, sejajar dengan objektif syarikat untuk menyelaraskan perniagaannya dengan memberi tumpuan kepada segmen pembinaan, pembangunan hartanah, konsesi infrastruktur dan pembuatan bahan binaan dan pengkuarian. 

 

"Kami percaya, ia akan mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat dan menyediakan fleksibiliti kewangan untuk meneroka peluang perniagaan, membiayai modal kerja dan memberi ganjaran kepada pemegang saham menerusi aktiviti pengurusan modal," katanya. 

 

IJM Corp yakin langkah berkenaan dapat menambah nilai pelaburannya dalam IJMP dan memberi peluang kepada pemegang saham minoriti untuk menjana pelaburan mereka menerusi IJMP.

 

Pada 11 Jun lalu, IJM Corp bersetuju untuk menjual pegangannya dalam IJMP kepada KLK pada harga RM3.10 sesaham yang mana langkah itu akan menjana keuntungan sebanyak RM700 juta kepada kumpulan. 

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2021, IJMP merekodkan pendapatan berjumlah RM935.69 juta dan keuntungan sebanyak RM205.08 juta, tertinggi sejak ditubuhkan pada 1985.

 

IJMP memiliki kawasan perdalangan seluas 25,014 hektar di Sabah dan 36,263 hektar di Indonesia, dengan purata usia pokok sedia ada masing-masing antara 14 dan 8 tahun. - DagangNews.com