Ikhlas, Saudi Tourism lancar kempen Rethink Summer untuk promosi Arab Saudi sebagai destinasi unik kepada pelancong Malaysia  | DagangNews Skip to main content

Ikhlas, Saudi Tourism lancar kempen Rethink Summer untuk promosi Arab Saudi sebagai destinasi unik kepada pelancong Malaysia 

Ikhlas Kamarudin (kiri) dan Alhasan Aldabbagh selepas memeterai kerjasama bagi menjayakan kempen Rethink Summer di Riyadh, Arab Saudi.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Jun -  Ikhlas Com Travel Sdn Bhd, anak syarikat Capital A Bhd bekerjasama dengan Saudi Tourism Authority (STA) untuk melancarkan kempen ‘Rethink Summer’, yang bertujuan mempromosikan Arab Saudi kepada pelancong Malaysia sebagai destinasi musim panas yang unik dan beraneka.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas, Ikhlas Kamarudin berkata, pihaknya menzahirkan penghargaan kepada STA atas pelantikan untuk meneraju kempen tersebut bagi pasaran Malaysia. 

 

Beliau berkata, pihaknya yakin boleh memberikan yang terbaik sebagai rakan kongsi kuat dan boleh dipercayai dengan sokongan AirAsia X dan rakan kongsi hotel Saudi yang diyakini.

 

"Kami berharap usaha sama ini akan berterusan dalam usaha membina Arab Saudi sebagai destinasi pelancongan yang selamat dan utama untuk semua rakyat Malaysia dan ramai lagi dengan menggembleng jaringan AirAsia yang meluas," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sejak penerbangan terus AAX dari Kuala Lumpur ke Jeddah kembali beroperasi November lalu, lebih 82,400 rakyat Malaysia telah berlepas ke Arab Saudi sehingga Mei 2023.

 

Presiden APAC Markets Saudi Tourism Authority, Alhasan Aldabbagh berkata, Saudi menawarkan destinasi tiada tandingan menerusi budaya asli Arab, kekayaan warisan dan kepelbagaian landskap yang mana teras kepada apa yang ditawarkan kepada pelancong Malaysia. 

 

"Peranan kami adalah untuk menyokong rakan kongsi seperti Ikhlas dari Capital A untuk menonjolkan pengalaman baru dan belum diterokai bagi membuka peluang yang dibawakan destinasi berkenaan sebagai permulaan ke arah mencapai 100 juta pelancong menjelang 2030," katanya.

 

Selain menawarkan tarikan, aktiviti dan pengalaman baru di samping mempromosikan umrah, Ikhlas turut menyasar untuk meningkatkan permintaan terhadap pelancongan Saudi dengan memperkenalkan jadual 'Do-It-Yourself (DIY)' yang boleh digunakan untuk memudahkan pelancong menemui tarikan dan destinasi baru Arab Saudi.

 

Menerusi kempen Rethink Summer, terdapat pilihan yang menepati citarasa ramai, dari pergunungan Taif yang indah, pantai Jeddah yang menyeronokkan sehinggalah ke puncak awangan di Aseer. 

 

Kempen tersebut membawakan aneka tarikan yang menawan antaranya tanah tinggi yang sejuk menghijau sehingga persisiran Laut Merah dan Teluk Arab.

 

Musim panas ini, terokai destinasi percutian menarik dengan hidangan aktiviti mengujakan seperti menunggang kuda di Al Jazeera Equestrian Center, menaiki bot atau menyelam di Jeddah, menjelajah ke perkampungan Muftaha di Al Souda atau kampung bersejarah Rijal Al Maa di Abha.

 

Selain itu, pelancong boleh menikmati panorama pergunungan Al Hada dan berkunjung ke Bandar Rose (City of Roses). Tidak ketinggalan pemandangan indah dari aras tinggi dengan menaiki kereta kabel dari Al Hada untuk melihat kawasan pergunungan majestik. - DagangNews.com