Impak EPS sektor pembinaan tidak seteruk PKP pertama | DagangNews Skip to main content

Impak EPS sektor pembinaan tidak seteruk PKP pertama

sektor pembinaan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 18 Jan. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) selama dua minggu bermula 13 Januari baru-baru ini dijangka tidak memberi kesan negatif yang teruk kepada jangkaan perolehan sesaham (EPS) sektor pembinaan seperti PKP 1.0 tahun lalu.

 

CGS-CIMB Research berkata, hal itu kerana PKP 2.0 membenarkan sektor pembinaan untuk meneruskan operasi dan tidak akan mengganggu kerja pembinaan serta bekalan bahan binaan.

 

"Di bawah ketetapan PKP 2.0, sektor pembinaan disenaraikan sebagai salah satu sektor ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi meliputi penambahbaikan dan pembaikan kritikal, projek infrastruktur utama dan kerja pembinaan yang berkaitan dengan bangunan Central Labour Quarters (CLQ).

 

"Anggaran kami sebelum ini melibatkan pemberhentian kerja selama 30 hari semasa PKP 1.0 pada tahun 2020 sekali gus memberi kesan negatif kepada EPS sebanyak 14% hingga 22%.

 

"Oleh itu, kemungkinan kesan terhadap pendapatan kontraktor semasa PKP 2.0 akan berkurangan kerana kebanyakan kontrak masih dibenarkan untuk beroperasi," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam nota kajian yang sama, CGS-CIMB Research turut menggariskan beberapa kebimbangan berkaitan sektor tersebut.

 

Jelas CGS-CIMB Research, jumlah jangkitan wabak yang tinggi dibimbangi dapat memberi kesan kepada tahap produktiviti sektor pembinaan.

 

Risiko tersebut adalah lebih tinggi kepada projek yang memerlukan kepada jumlah pekerja yang lebih besar.

 

"PKP 2.0 juga memberi kesan negatif kepada pelaksanaan projek baharu sepanjang tempoh 2021 serta pendapatan kontraktor sekiranya dilanjutkan melebihi tempoh dua minggu.

 

"Potensi kesan PKP 2.0 adalah negatif tetapi masih dapat diimbangi kerana PKP 2.0 pada ketika ini hanya dijalankan di negeri dan wilayah terpilih seperti Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur dan Kelantan," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com