Indeks harga pengeluar Malaysia terus susut 1.3% pada Disember 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks harga pengeluar Malaysia terus susut 1.3% pada Disember 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Indeks harga pengeluar (IHPR) Malaysia, yang mengukur harga barangan di pintu kilang, terus menurun kepada 1.3% pada Disember 2023 berbanding 1.5% pada November 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin mengulas penurunan tersebut disebabkan oleh sektor perlombongan merosot 3.4% pada bulan dalam tinjauan berbanding 4.7% dalam bulan sebelumnya berikutan penurunan indeks pengekstrakan gas asli (7.8%) dan indeks pengekstrakan petroleum mentah (1.9%).

 

Di samping itu, sektor pembuatan terus turun 1.5% berbanding 1.4% pada November 2023, kerana penyusutan indeks pembuatan kok dan petroleum bertapis (12.3%), pembuatan produk makanan (4.2%), serta sektor bekalan elektrik dan gas menurun 0.6%, sama seperti bulan sebelumnya.

 

“Sebaliknya, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan meningkat 1.3%, selepas penurunan 0.4% pada November 2023, didorong kenaikan indeks pengeluaran ternakan (6.3%) dan perikanan (3.8%). Pada masa yang sama, indeks bekalan air juga meningkat 0.4% pada bulan ini,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini mengulas laporan IHPR Pengeluaran tempatan bagi Disember 2023.

 

Pada asas bulanan, Mohd Uzir berkata IHPR pengeluaran tempatan terus menurun 0.2% pada Disember 2023 berbanding 0.7% pada bulan sebelumnya disebabkan penurunan dalam semua sektor kecuali sektor pertanian, perhutanan dan perikanan yang kekal tidak berubah.

 

 

dosm

 

 

Berbanding dengan negara-negara lain, beliau menyatakan bahawa IHPR Amerika Syarikat meningkat 1.0% berbanding 0.8% pada November 2023, manakala IHPR Jepun tidak menunjukkan perubahan pada asas tahunan selepas peningkatan 0.3% pada bulan sebelumnya.

 

Sementara itu, harga pengeluar China susut 2.7% berbanding penurunan 3.0% pada bulan sebelumnya, dikaitkan dengan penurunan lebih perlahan dalam harga perlombongan dan kuari, bahan mentah dan pemprosesan.

 

IHPR Taiwan juga terus turun 0.4% terutamanya disebabkan oleh bekalan gas, petroleum dan produk logam fabrikasi.

 

Bagi keseluruhan tahun 2023, Mohd Uzir merumuskan bahawa IHPR pengeluaran tempatan turun 1.9% selepas peningkatan 7.8% pada 2022, penurunan pertama sejak 2020 berikutan harga komoditi utama Malaysia yang lebih rendah.

 

“Harga komoditi pada 2023 dilihat tidak menentu berikutan turun naik harga, terutamanya dalam pasaran tenaga. Harga minyak mentah juga mengalami ketidaktentuan berikutan beberapa siri pengurangan pengeluaran minyak oleh OPEC+ dan kebimbangan bekalan yang berkait dengan perang Israel-Hamas.

 

“Risiko geopolitik yang semakin meningkat, termasuk potensi perang yang bertambah serius, boleh meningkatkan ketidaktentuan dalam bekalan dan harga tenaga global,” tambahnya.  - DagangNews.com