Indeks Pelopor turun 0.5% pada Ogos 2023, ekonomi Malaysia dijangka terus sederhana - DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pelopor turun 0.5% pada Ogos 2023, ekonomi Malaysia dijangka terus sederhana - DOSM

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Okt - Kadar pertumbuhan Indeks Pelopor (IP) Malaysia terus menyederhana pada Ogos 2023 dengan mencatatkan marginal negatif 0.5% kepada 109.7 mata berbanding negatif 1% pada bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Indeks Pelopor ialah alat yang digunakan untuk meramalkan arah aliran ekonomi secara purata empat hingga enam bulan ke hadapan.

 

Kadar pertumbuhan IP terlicin Ogos 2023 kekal di bawah aliran 100 mata, menjangkakan ekonomi Malaysia akan terus menyederhana disebabkan oleh ketidaktentuan ekonomi global walaupun permintaan domestik kukuh.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, empat komponen menyumbang secara positif kepada indeks tersebut terutamanya bilangan unit kediaman yang diluluskan pembinaan (245.7%), diikuti oleh Indeks Perusahaan Bursa Malaysia (15.2%), bilangan syarikat baru didaftar (13.1%) dan import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (3.6%).

 

"Sebaliknya, import benar semikonduktor  menunjukkan penurunan (-31.9%). Melihat kepada prestasi bulanan, LI menunjukkan negatif 0.8% pada Julai 2023 tetapi melonjak semula kepada 0.7% pada bulan rujukan, akibat daripada peningkatan ketara dalam import benar logam asas berharga & logam bukan ferus lain (0.9%)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Merujuk kepada senario ekonomi semasa, Indeks Serentak (IS) mencatatkan pertumbuhan 2.1% kepada 123.6 mata pada Ogos 2023 berbanding 121 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu disumbangkan oleh semua komponen kecuali indeks pengeluaran perindustrian (0.4%).

 

 

dosm

 

 

Perubahan bulanan IS pula mencatatkan 0.04% untuk mencapai 123.6 mata berbanding 123.5 mata pada Julai 2023, disokong terutamanya oleh peningkatan jumlah guna tenaga pembuatan (0.4%). - DagangNews.com