KUALA LUMPUR 7 Nov - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menyusut 0.5% pada September 2023 berbanding setahun lalu, manakala bagi perbandingan bulanan berkembang dua bulan berturut-turut, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, IPP terus menyusut pada September 2023 sebanyak 0.5% tahun ke tahun selepas mencatat 0.3% pada bulan sebelumnya, terutamanya disebabkan penurunan 5.2% dalam sektor perlombongan.
Mohd Uzir Mahidin berkata pengeluaran sektor perlombongan merosot 5.2% pada September 2023 berbanding positif 0.1% yang direkodkan pada Ogos 2023, dipengaruhi pengeluaran gas asli yang kembali kepada jajaran negatif dengan penurunan 7.8% berbanding kenaikan 2.6% pada Ogos 2023.
“Tambahan pula, pengeluaran Minyak Mentah & Kondensat terus berada dalam trend menurun merekodkan negatif 1.4 peratus pada September 2023 (Ogos 2023: -3.3%),” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Sebaliknya, sektor pembuatan kembali kepada pertumbuhan marginal 0.4% selepas mengalami trend penurunan selama tiga bulan berturut-turut, didorong terutamanya oleh prestasi kukuh industri berorientasikan domestik yang berkembang 5.9% pada September 2023 (Ogos 2023: 4.2%).
“Kenaikan ini diterajui oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan (9.6%); pembuatan produk prosesan makanan (8.2%); dan pembuatan produk galian bukan logam lain (8%),” kata Uzir.
Sementara itu, sektor elektrik meningkat 2.5% tahun ke tahun berbanding 1.9% pada Ogos 2023, manakala bagi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik merosot 4% berbanding pertumbuhan positif 0.3% yang direkodkan pada Ogos 2023.
Secara keseluruhan, pada suku ketiga 2023, IPP mencatatkan penurunan marginal 0.04% tahun ke tahun berbanding negatif 0.3% yang direkodkan pada suku kedua 2023, di mana sektor perlombongan dan pembuatan menurun masing-masing sebanyak 0.4% dan 0.1%.
Sementara itu, penjanaan elektrik meningkat 2% pada suku ini, meneruskan momentum positif untuk tiga suku berturut-turut.
Namun begitu, berbanding dengan suku tahun kedua 2023, IPP memulih kepada 4.2% disokong terutamanya oleh sektor pembuatan pada kadar 5.5%, selari dengan peningkatan eksport suku tahunan, di samping import barangan perantaraan juga mencatatkan peningkatan secara suku tahunan, yang menunjukkan permintaan lebih tinggi untuk pengeluaran perindustrian.
“IPP mengembang pada kadar yang lebih perlahan sebanyak 0.8% berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya iaitu 7.7%.
“Peningkatan tersebut disokong oleh indeks pembuatan (1.1%); dan indeks elektrik (1.7%), sebaliknya, indeks perlombongan menyusut 0.4%,” kata Uzir merumuskan prestasi IPP bagi sembilan bulan pertama 2023. - DagangNews.com