Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 3.1% pada Mac 2023 didorong sektor pembuatan dan perlombongan – DOSM | DagangNews Skip to main content

Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat 3.1% pada Mac 2023 didorong sektor pembuatan dan perlombongan – DOSM

KUALA LUMPUR 9 Mei - Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia telah meningkat 3.1% pada Mac 2023, didorong pengembangan 4.1% dalam sektor pembuatan dan pemulihan sektor perlombongan sebanyak 0.8%, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Bagaimanapun, indeks elektrik menyusut kepada negatif 0.3% pada bulan berkenaan daripada pertumbuhan positif 1.1% pada Februari 2023.

 

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IPP kembali kepada prestasi memberangsangkan sebanyak 8.3% pada Mac 2023 selepas mengalami trend penurunan untuk tiga bulan berturut-turut.

 

Bagaimanapun, IPP menyederhana kepada 2.8% tahun ke tahun berbanding 4% yang dicatatkan pada suku keempat 2022.

 

 

IPP

 

 

Menurut Mohd Uzir, peningkatan 4.1% dalam output sektor pembuatatan disokong terutamanya oleh industri berorientasikan domestik yang menaik 5% (Februari 2023: 7%).

 

“Peningkatan dalam industri berorientasikan domestik didorong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler sebanyak 9.8% (Februari 2023: 9.5%) dan pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan kelengkapan masing-masing sebanyak 9.8% (Februari 2023: 9.5%) dan 5.5% (Februari 2023: 8.5%),” ulas beliau.

 

Sementara itu, industri berorientasikan eksport berkembang 3.6% (Februari 2023: 3.7%), peningkatan 7.1% dalam pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (Februari 2023: 6.4%) dan pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan yang melonjak 15.2% berbanding 18.3% pada Februari 2023.

 

Berbanding Februari 2023, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan kembali kepada momentum positif dengan peningkatan 7.8% selepas mencatatkan penurunan berterusan sejak Disember 2022.

 

Bagi perbandingan tahun ke tahun, indeks pembuatan dan perlombongan masing-masing meningkat sebanyak 3.4% dan 2.1%, manakala indeks elektrik terus menyusut kepada 1.2%. -DagangNews.com