Industri aeroangkasa Malaysia dijangka raih pendapatan RM18 bilion tahun ini | DagangNews Skip to main content

Industri aeroangkasa Malaysia dijangka raih pendapatan RM18 bilion tahun ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 15 Nov - Industri aeroangkasa negara dijangka dapat mencapai sasaran meraih pendapatan sebanyak RM18 bilion pada tahun ini berdasarkan pencapaian kontrak kerja dan unjuran nilai pendapatan suku ketiga.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Industri Aeroangkasa Negara Malaysia (NAICO Malaysia), Prof Shamsul Kamar Abu Samah berkata, berdasarkan kepada anggaran tidak rasmi pendapatan industri itu pada suku ketiga 2023, ia berada pada sekitar RM16 bilion.

 

Beliau berkata, ini menjadikan sasaran yang ditetapkan untuk 2023 mampu dicapai, sekali gus membolehkan sasaran pendapatan menjelang 2030 juga dapat dicapai.

 

"Malaysia menyaksikan satu kemajuan yang dinamik dalam industri aeroangkasa dengan memperoleh RM5.7 bilion kerja baharu yang dijamin oleh rantaian bekalan tempatan dalam tempoh lalu dengan projek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bernilai RM600 juta juga sedang dilaksanakan oleh pemain industri.

 

"Ia dijangka memberikan pendapatan industri aeroangkasa mencapai lebih daripada RM18 bilion dengan 28,000 tenaga kerja mahir.

 

"Segmen MRO dan pembuatan adalah penyumbang utama kepada pendapatan ini sekitar 95 peratus," katanya selepas majlis pelancaran Sidang Kemuncak Aeroangkasa Malaysia 2023 (MyAERO SUMMIT 2023) di sini, hari ini.

 

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong.

 

 

naico

 

 

Sementara itu, jumlah penilaian perdagangan antara Januari hingga September 2023 bagi industri aeroangkasa juga melonjak kepada RM16.67 bilion.

 

Ia satu pencapaian yang ketara disertai dengan peningkatan dalam eksport sebanyak 26.9 peratus kepada RM4.18 bilion berbanding RM3.29 bilion dalam tempoh yang sama 2022.

 

Shamsul Kamar berkata, nilai eksport dan perdagangan yang diraih itu menunjukkan daya tahan industri dan potensi pertumbuhannya.

 

Beliau berkata, industri aeroangkasa adalah antara yang mendapat manfaat di sebalik pandemik COVID-19 dengan peningkatan yang berterusan dalam MRO dan pembuatan.

 

Katanya, lonjakan positif itu juga dijangka berterusan pada tahun depan, tetapi masih bergantung kepada pelbagai faktor persekitaran semasa.

 

"Kita tidak mahu terlalu yakin, tetapi 2024 dijangka kekal memberikan satu impak positif kepada industri berdasarkan kepada permulaan projek kerja baharu.

 

"NAICO berharap industri penerbangan juga semakin bertambah baik kerana aktiviti MRO dan pembuatan berkait rapat dengan aktiviti penerbangan komersial.

 

"Jika banyak pesawat kembali terbang, maka banyak juga aktiviti untuk MRO yang akan memberikan pendapatan lebih baik," katanya.

 

Dalam pada itu, Shamsul Kamar berkata MITI sentiasa memberikan pelbagai galakan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berminat dengan industri aeroangkasa.

 

Namun, katanya PKS yang ingin menceburi industri itu perlu bersedia menggunapakai teknologi serta meningkatkan kapasiti ke arah operasi global, kerana aeroangkasa adalah industri global dengan kualiti dan keperluan daripada pihak pengeluar peralatan asal (OEM) adalah tinggi, lapor Berita Harian.

 

"Perlu diingat, industri aeroangkasa sifatnya adalah permintaan mengatasi bekalan. Aktiviti bekalan masih kurang berbanding permintaan.

 

"Sebab itu PKS yang ingin memasuki industri aeroangkasa sentiasa diingatkan agar sentiasa berkerjasama daripada bersaing sesama sendiri," katanya. - DagangNews.com