Industri penderia pintar global diunjur mencecah RM342 bilion menjelang 2028 | DagangNews Skip to main content

Industri penderia pintar global diunjur mencecah RM342 bilion menjelang 2028

KUALA LUMPUR 21 Jun - Pasaran global untuk penderia pintar dijangka berkembang daripada AS$31.73 bilion (RM140 bilion) pada 2021 kepada AS$77.75 bilion (RM342 bilion) menjelang 2028.

 

Menurut laporan 'Unjuran Pasaran Penderia Pintar Global 2028 - Kesan COVID-19 dan Analisis Global' yang dikeluarkan ResearchAndMarkets.com menjangkakan kadar perkembangan terkompaun tahunan adalah antara 13.7% antara 2021 dan 2028.

 

Laporan itu berkata, penderia pintar suhu merupakan sistem yang merangkumi penderia suhu, litar pincang dan penukar analog-ke-digital.

 

Difahamkan, apabila berurusan dengan haba yang tinggi, risiko atau lokasi yang tidak bolek diakses, penderia itu akan mengesan haba bagi memberi jaminan proses berkenaan kekal dalam julat yang diperlukan bagi memastikan penggunaan aplikasi selamat selain memenuhi syarat yang diperlukan.

 

"Permintaan untuk penderia yang diyakini, berprestasi tinggi, kos rendah semakin meningkat, memacu pembangunan teknologi baharu seperti mikro dan nanoteknologi yang akhirnya memberi kesan kepada pertumbuhan pasaran penderia pintar," katanya.

 

ResearchAndMarkets.com berkata, penderia yang dilekat atau bercetak boleh diletakkan kepada peralatan sebagai label untuk mengukur faktor fizikal seperti kelembapan, suhu dan tekanan gas.

 

"Disebabkan kosnya yang rendah, saiz yang padat dan kemudahan penggunaan, penderia itu digunakan secara meluas dalam pelbagai sektor termasuk automotif, perumahan, peranti perubatan, alam sekitar, pemprosesan makanan dan bahan kimia.

 

"Faktort berkenaan menjadi pendorong utama kepada saiz pasaran penderia pintar, " katanya.

 

ResearchAndMarkets.com berkata, penderia kelembapan (hygrometer) juga memiliki permintaan yang tinggi dalam pasaran global yang digunakan bagi mengesan, mengukur dan melaporkan kelembapan serta suhu udara.

 

Penderia itu juga digunakan di dalam sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara kediaman. - DagangNews.com