Industri takaful agih RM2.24 bilion pada suku pertama, bayaran naik 4.9%  | DagangNews Skip to main content

Industri takaful agih RM2.24 bilion pada suku pertama, bayaran naik 4.9% 

KUALA LUMPUR 24 Julai - Pengendali industri takaful mengagihkan RM2.24 bilion dalam suku pertama 2024, dengan pembayaran takaful keluarga sebanyak RM1.7 bilion manakala pembayaran RM514 juta untuk takaful am, kata Persatuan Takaful Malaysia (MTA).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Mohd Radzuan Mohamed berkata jumlah pengeluaran takaful keluarga dan takaful am meningkat sebanyak 4.9% pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

 

Pengeluaran takaful keluarga meningkat sebanyak 2.5%, manakala takaful am menyaksikan peningkatan sebanyak 13.6%.

 

“Membandingkan corak pada suku pertama tahun ini dan tahun lepas, kami melihat keadaan sudah telah pulih, apabila individu mengunjung ke hospital dan menerima rawatan yang mereka tundakan,” katanya.

 

Menurut trend bagi separuh pertama tahun ini, Mohd Radzuan berkata walaupun pengguna insurans takaful meningkat, tetapi masih banyak perlu dilakukan dari segi celik kewangan untuk kecemasan.

 

“Walaupun penggunaan takaful semakin meningkat, masih terdapat persepsi bahawa insurans dan takaful bukan keutamaan.

 

"Oleh itu, mereka selalunya menjadi orang pertama yang berhenti melanggan apabila menghadapi masalah atau jika mereka merancang percutian," katanya.

 

Jelasnya lagi, lebih banyak usaha diperlukan bagi menarik rakyat Malaysia daripada kategori pendapatan isi rumah 40% terbawah (B40), termasuk pekerja gig yang tidak mempunyai perlindungan insurans.

 

Beliau menambah bahawa kadar penembusan takaful berada pada 20%, manakala insurans konvensional pada 40%.

 

Dilaporkan sebelum ini, persatuan itu menyasar untuk menggandakan penembusan takaful kepada 40% dalam tempoh empat tahun, kini berada pada 20% di bawah Pelan Strategik Hijrah 2027.

 

“Kini kami beralih kepada Hijrah27, pelan strategik untuk 2024-2027 bertujuan untuk mentransformasikan industri berikutan kejayaan Islah23, yang memberi tumpuan kepada pembaharuan sektor itu,” ujarnya.

 

Mohd Radzuan menegaskan pelancaran Hijrah27 dijangka pada bulan Muharram (mulai 7 Julai), memandangkan ia kini sedang dimuktamadkan.- DagangNews.com