Infomina sasar pengembangan serantau bagi tingkatkan buku pesanan, kata AmInvestment | DagangNews Skip to main content

Infomina sasar pengembangan serantau bagi tingkatkan buku pesanan, kata AmInvestment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Julai - Infomina Bhd menyasarkan pengembangan strategiknya di peringkat domestik dan serantau bagi meningkatkan lagi buku pesanannya pada masa hadapan, kata AmInvestment Bank Bhd.

 

Katanya, kumpulan dijangka memperoleh jumlah kontrak yang lebih tinggi dalam tempoh terdekat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Infomina baru-baru ini memperoleh kontrak segmen pembaharuan bernilai RM53.6 juta dengan sebuah bank Thailand.

 

"Kontrak itu akan memberikan aliran tunai yang positif dan hasil yang stabil kepada kumpulan itu pada tahun-tahun akan datang," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Infomina peroleh kontrak bernilai RM53.6 juta bagi perkhidmatan sokongan IT daripada bank di Thailand

 

Terdahulu, hasil kumpulan bagi FY24 susut 10.4% kepada RM225 juta, disebabkan yuran lebihan sekali sahaja yang dikenakan kepada pelanggan bagi penggunaan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada tahun yang sama.

 

Sejajar dengan hasil yang lebih rendah, margin kasar Infomina menyusut kepada 28.6%.

 

AmInvestment berkata, hasil bagi 4QFY24 bagaimanapun meningkat 15.3% kepada RM58.5 juta, terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih tinggi yang diiktiraf untuk kedua-dua segmen pembaharuan (22.6%) dan rumusan pasang siap (3%).

 

"Bagaimanapun, untung bersih teras 4QFY24 merosot sebanyak 8.4% dari suku tahun ke suku tahun disebabkan oleh kemerosotan margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada 17.8%, dipengaruhi kos operasi yang lebih tinggi serta peningkatan 3% dalam caj cukai berkesan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu tidak membuat sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan FY25-FY27 kerana keputusan FY24 Infomina pada umumnya selaras dengan jangkaan mereka.

 

"Walaupun untung bersih teras FY24 kumpulan sebanyak RM33 juta mencapai 6% di bawah pendapatan teras FY24 dan 12% di bawah anggaran konsensus, kami menjangkakan sumbangan yang lebih tinggi daripada pasaran Jepun kepada hasil kumpulan pada tahun kewangan akan datang.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga wajar (FV) RM1.60," katanya. - DagangNews.com