Inisiatif tanaman kontan FGV bantu B40 | DagangNews Skip to main content

Inisiatif tanaman kontan FGV bantu B40

FGVPM menyasarkan pengeluaran pisang Cavendish sebanyak 150 tan metrik sebulan bagi tahun ini. 

 

 

KUALA LUMPUR 7 April - FGV Holdings Berhad melalui anak syarikatnya, FGV Plantations Malaysia Sdn Bhd (FGVPM) mengukuhkan lagi potensi perniagaan dalam bidang agri makanan menerusi projek rintis tanaman kontan seperti nanas, tembikai, pisang dan ternakan ikan air tawar.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, projek itu dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan tanah seluas 15,000 hektar yang diperuntukkan untuk penanaman semula kelapa sawit pada setiap tahun. 

 

Katanya, aktiviti ini turut memelihara tekstur dan kesuburan tanah serta meningkatkan kawalan makhluk perosak dan penyakit.

 

“Selain manfaat pendapatan sampingan ketika musim penanaman semula, FGV berpeluang mengembangkan aktiviti pertanian kontrak bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan. 

 

"FGV turut melibatkan pekebun dan petani dari kumpulan B40 di kawasan terbabit serta menyalurkan pelbagai sokongan dan bantuan kepada mereka,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

 

Sejak November 2019, lebih 430,000 pokok nanas MD2 ditanam dalam tujuh fasa di Ladang FGV Maokil 7, Johor.

 

Bagi 2021, sasaran pengeluaran nanas MD2 disasarkan sebanyak 188 tan metrik.

 

Projek ini turut mendapat sokongan dan khidmat nasihat Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), antaranya bekalan 200,000 benih sulur nanas MD2 melalui Program Premium LPNM.

 

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPNM, Mohd. Khairuzamri Mohd. Salleh berkata, pihaknya turut menyediakan kursus pengurusan nanas kepada kakitangan FGVPM dan memantau perkembangan tanaman sebagai menyokong usaha ini secara dekat.

 

FGVPM turut mengusahakan projek tanaman pisang Cavendish secara selingan dengan tanaman kelapa di Ladang FGV Paloh, Johor. 

 

FGVPM menyasarkan pengeluaran pisang Cavendish sebanyak 150 tan metrik sebulan bagi tahun ini untuk pasaran tempatan dan Singapura.

 

Di Sabah pula, tanaman pisang Nipah diusahakan di Ladang Sahabat 21 dengan pengeluaran hasil bagi 2021 adalah sebanyak 20 tan metrik.

 

Selain tanaman kontan, FGVPM turut mengusahakan projek penternakan ikan air tawar seperti Tilapia, Patin dan Jelawat di Ladang FGV Nenering 2 Gerik, Perak. 

 

Bagi projek ini, FGVPM menyasarkan pulangan sebanyak RM450,000 bagi sekali tuaian setiap lima hingga lapan bulan mengikut jenis ikan ternakan. - DagangNews.com