Institusi perbankan Malaysia, Thailand dipelawa jadi QAB | DagangNews Skip to main content

Institusi perbankan Malaysia, Thailand dipelawa jadi QAB

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus

 

 

KUALA LUMPUR 14 Sept. -  Institusi perbankan dari Malaysia dan Thailand dipelawa untuk menjadi Bank ASEAN Berkelayakan (QAB) di negara berkenaan. 

 

Ini berdasarkan pengaturan 2 hala di bawah Rangka Kerja Integrasi Perbankan ASEAN (ABIF) antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank of Thailand (BOT) yang telah dicapai pada April 2019. 

 

Gabenor BNM, Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata, pengaturan 2 hala ini menandakan pengukuhan hubungan ekonomi antara Malaysia dengan Thailand dan akan memberikan manfaat kepada orang ramai di kedua-dua negara melalui kemudahan perbankan yang lebih baik serta akses kepada produk kewangan secara lebih meluas.

 

“Kedua-dua negara ini telah mengambil langkah penting dalam usaha mewujudkan ekonomi ASEAN yang bersepadu dan bekerjasama erat.

 

"Kami yakin pengaturan QAB ini akan membuka lebih banyak peluang perniagaan dan kegiatan ekonomi yang boleh membantu pemulihan ekonomi di kedua-dua negara dalam keadaan pandemik yang masih berterusan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Gabenor BOT, Sethaput Suthiwartnarueput berkata, pengaturan QAB 2 hala ini menandakan satu lagi peristiwa penting yang dicapai dalam hubungan antara kedua-dua negara yang telah lama terjalin, dan dalam usaha ASEAN memantapkan lagi integrasi sistem kewangan di rantau ini. 

 

"Pengaturan ini akan menawarkan produk kewangan berkualiti tinggi yang lebih pelbagai bagi memenuhi keperluan perniagaan dan pengguna dengan lebih baik di kedua-dua negara.

 

“Kami meletakkan aspirasi supaya pengaturan QAB ini menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih erat antara negara ASEAN tatkala rantau ini giat menerapkan inovasi kewangan yang baharu," katanya. 

 

Pengaturan 2 hala dan komitmen dalam pengaturan ini membentuk sebahagian daripada Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Perkhidmatan (AFAS).

 

QAB dijangka menyokong perdagangan dan pelaburan antara negara ASEAN yang lebih meluas di rantau ini, selaras dengan ASEAN Economic Community Blueprint 2025 yang bertujuan mewujudkan ekonomi ASEAN yang bersepadu dan bekerjasama erat. 

 

Bagi memastikan kestabilan kewangan di kedua-dua negara ini, calon QAB sama ada bank baharu atau bank sedia ada di negara tuan rumah perlu mempunyai kedudukan yang kukuh, tadbir urus yang baik, mendapat sokongan daripada agensi pengawal selia negara asal untuk menjadi QAB serta perlu mematuhi keperluan kehematan negara tuan rumah. 

 

Calon QAB yang berjaya akan memperoleh akses pasaran dan fleksibiliti operasi yang diberikan di bawah pengaturan 2 hala tersebut.

 

Pengaturan 2 hala ini merupakan peristiwa penting dalam usaha menuju ke arah integrasi kewangan ASEAN yang menjadi sasaran di bawah inisiatif ABIF. 

 

Baru-baru ini, BOT dan BNM juga telah melancarkan Jalinan Pembayaran QR Rentas Sempadan antara Malaysia dengan Thailand. - DagangNews.com