ISSA 2023 tingkatkan keperluan industri kayu gaharu, beri nilai tambah ekonomi negara - UPM | DagangNews Skip to main content

ISSA 2023 tingkatkan keperluan industri kayu gaharu, beri nilai tambah ekonomi negara - UPM

Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah (tengah) mendengar penerangan berkenaan kegunaan kayu gaharu ketika program ISSA 2023 di Putrajaya pada 17 Oktober 2023.

KUALA LUMPUR 17 Okt - Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar (FPAS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan ‘3rd International Scientific Symposium of Agarwood 2023’ (ISSA 2023) bagi mengiktiraf keperluan industri kayu gaharu sebagai nilai tambah ekonomi negara.

 

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, transformasi industri kayu gaharu diperlukan supaya industri ini dapat memainkan fungsi ekonomi yang penting serta menguntungkan syarikat komersial dan usahawan kecil. 

 

Beliau berkata, transformasi penanaman dan penggunaan gaharu akan mewujudkan suasana ekonomi yang progresif yang boleh membantu industri gaharu mencapai kemajuan yang mampan. 

 

"Malaysia merupakan pengeksport gaharu kedua terbesar di dunia selepas Indonesia. Gaharu memainkan peranan penting dalam penyembuhan dan perubatan terapeutik selain popular dalam industri minyak wangi," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ahmad Farhan berkata, bagaimanapun amalan penuaian yang tidak mampan menimbulkan ancaman kepada masa hadapan pokok gaharu. 

 

"Oleh itu, FPAS UPM komited untuk membangunkan industri dan menggunakan sumber gaharu dengan cara yang mampan. ISSA kali ketiga ini menonjolkan kepentingan pemuliharaan dan penyelidikan spesies pokok gaharu," katanya.

 

Beliau berharap peserta ISSA 2023, dapat melihat objektif IR 4.0 untuk merangsang penggunaan teknologi bersesuaian yang boleh mengubah penanaman dan penggunaan gaharu serta meningkatkan kelestarian di peringkat ladang gaharu.

 

 

upm
Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah (tengah) mencuba kayu gaharu yang dapat dijadikan sebagai minyak wangi.

 

 

Sementara itu, pengarah program, Prof Dr Rozi Mohamed berkata, ISSA 2023 ialah platform untuk perbincangan tentang kemajuan terkini dan penemuan teknologi yang boleh membantu mengubah penanaman serta penggunaan gaharu. 

 

Katanya, ia akan mewujudkan peluang untuk industri, agensi kerajaan dan ahli akademik untuk bekerjasama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang boleh merevolusikan industri gaharu. 

 

 

upm

 

 

"Penyertaan pelbagai pihak dan pemain industri gaharu antarabangsa dalam ISSA 2023 seperti dari Jepun, China, Perancis, Sri Lanka, Brunei dan lain-lain lagi secara tidak langsung meningkatkan lagi keperluan dan perkembangan industri gaharu," katanya. 

 

Simposium itu turut dianjurkan bersama Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Institut Perhutanan Malaysia (FRIM), Persatuan Institusi Penyelidikan Perhutanan Asia Pasifik (APAFRI) dan Lembaga Kayu Malaysia (MTIB). - DagangNews.com